KETIKA rakyat Malaysia tertumpu kepada atlet-atlet yang bersaing di Sukan Olimpik Paris 2024, skuad Bina Badan Malaysia berjaya melakar sejarah tersendiri apabila muncul pasukan ketiga terbaik Asia di 56th Asian Bodybuilding and Physique Sports Championship 2024 di Batam, Indonesia.
Selain mendapat tempat ketiga terbaik di Asia, badang-badang Malaysia ini berjaya membawa pulang 5 pingat emas, 2 perak dan 7 gangsa dalam pelbagai kategori lelaki, wanita, pasangan dan juga campuran sekaligus menjadikan Malaysia negara Asia Tenggara terbaik dalam kejuaraan ini.
Pengurus pasukan, Ahmad Shaiful Affendi menegaskan disiplin dan persiapan rapi menjadi resepi utama kejayaan skuad bina badan negara selain mengambil semangat atlet-atlet yang beraksi di Olimpik sebagai pembakar semangat untuk menempa kejayaan buat Malaysia.
“Disiplin para peserta dan persiapan yang baik dengan pemilihan atlet yang tepat untuk setiap kategori yang dipertandingkan memberikan kami kejayaan ini selepas apa yang dilakukan berjaya membuahkan hasil.
“Kami sedar sukan ini tidak popular dan kurang diberikan perhatian tetapi kami berjaya menbuktikan yang setiap kali kami bertanding kami akan pulang dengan kejayaan kerana semua peserta faham akan tugas masing-masing untuk mengharumkan nama negara.
“Selepas melihat atlet-atlet di Olimpik tidak berjaya membawa pulang emas, kami menjadi lebih bersemangat untuk menempa kejayaan dan akhirnya semangat itu berjaya diserap semua atlet yang berjaya memenangi lima pingat emas,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Batam.
Affendi turur menyatakan bahawa kejayaan di peringkat Asia ini akan menjadi pemangkin semangat buat skuad bina badan negara untuk bersaing di Kejuaraan Dunia di Maldives selepas ini dengan atlet-atlet terbaik akan dibawa untuk membentuk sebuah skuad yang lebih mantap.
“Untuk kejohanan dunia di Maldives nanti, kami sudah berbincang dan akan membawa pasukan terbaik dengan atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat akan diberikan keutamaan dan semangat dari Asia ini akan menjadi pendorong utama buat kami beraksi lebih baik,” jelasnya.
Malaysia berjaya merangkul 5 pingat emas dari tiga kategori lelaki dan dua kategori wanita manakala 2 perak dari kategori lelaki serta 7 gangsa juga dari kategori lelaki dan wanita.