KESETIAAN 15 tahun jenama pakaian sukan terkenal dunia Nike bersama skuad bola sepak negara dikhabarkan bakal berakhir November 2024.
Sejak tahun 2007, Nike telah menjadi jenama rasmi jersi skuad kebangsaan dan mengiringi detik-detik bersejarah dalam arena bola sepak Malaysia, termasuk kejayaan membawa pulang pingat emas dalam Sukan SEA 2009 dan memenangi Piala AFF Suzuki buat kali pertama pada tahun 2010.
Sepanjang lebih satu dekad setengah, Nike telah menghasilkan sembilan edisi jersi untuk Harimau Malaya, di mana beberapa daripadanya, seperti jersi 2009 dan 2010, terus dikenang sebagai lambang kebangkitan bola sepak Malaysia.
Jersi 2009, khususnya, dikenang sebagai jersi yang membawa Harimau Malaya memecah kemarau 20 tahun dengan memenangi pingat emas bola sepak di Sukan SEA, manakala jersi 2010 menjadi simbol kejayaan merangkul Piala AFF Suzuki dengan skuad kendalian Datuk K. Rajagopal menundukkan Indonesia di final.
Kit pada tahun 2021 juga menjadi salah satu yang paling bersejarah apabila ia menyaksikan Harimau Malaya melangkah ke kelayakan Piala Asia dan berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke kejohanan berprestij tersebut.
Menariknya, Harimau Malaya masih menggunakan jersi keluaran tahun 2022, yang kini disertai oleh koleksi kit latihan dan hoodie baharu bagi aksi Piala Asia awal tahun ini. Nike kebiasaannya melancarkan rekaan jersi baharu setiap dua tahun, namun kini segalanya akan berubah.
Spekulasi mengenai satu lagi jenama sukan terkenal, Puma sebagai pengganti mula mendapat perhatian apabila berkongsi “FAM On Fire” di media sosial, dengan tarikh 9 November yang didakwa sebagai hari pelancaran jersi baharu Harimau Malaya.
Jika benar, ini menandakan titik permulaan baharu bagi skuad kebangsaan dan juga para penyokong yang menantikan sentuhan baharu dalam semangat kebangsaan.
Dengan harapan dan keterujaan yang semakin memuncak, para penyokong kini menantikan 9 November 2024 sebagai tarikh rasmi pelancaran jersi baharu Harimau Malaya oleh Puma.
Penampilan baharu ini bukan sahaja bakal membawa imej segar, tetapi juga menjadi simbol permulaan era baharu buat skuad kebangsaan di bawah jenama yang baru, sekali gus menjadi kebanggaan buat seluruh peminat bola sepak tanah air.