PENYERANG bola sepak orang buta kebangsaan, Amirul Arif Mahadhir mendedahkan pasukannya kini sedang menghadapi masalah  dana pasukan Harimau Buta yang kini semakin tenat. 

Lebih memilukan apabila skuad kebangsaan tidak lagi menerima tajaan besar seperti sebelum ini yang diberikan oleh Colombia Asia dan CIMB Foundation.

“Sekarang kita tidak mempunyai penaja, perlu menggunakan duit daripada bajet dalaman persatuan. 

 

“Kita tidak boleh guna bajet yang besar kerana duit sedia ada tidak banyak,” kongsi Arif kepada FLASH SUKAN.

Menurut Arif, ekoran daripada masalah kewangan ini menjadi persiapan skuad kebangsaan agak terjejas biarpun bakal berdepan dengan aksi besar bertemu Jepun pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 pada 5 hingga 7 Ogos ini.

 

“Kalau diikutkan sebelum ini, Malaysia kalau kalah dengan Jepun tipis, tetapi kita tidak tahulah apa yang bakal jadi kali ini.

“Dari segi serangan, dia lemah, jadi kami akan mengambil peluang menerusi serangan ,” jelas mengharap agar skuad negara berjaya mara ke Piala Dunia kali ini.

Kali terakhir Malaysia hampir mencatat sejarah beraksi pada kempen Piala Dunia adalah pada 2017 apabila tewas kepada Korea Selatan 3-4 dalam peringkat kumpulan sekaligus menutup slot automatik ke Piala Dunia. 

Skuad tersebut berhasil merangkul emas Sukan SEA Singapura (2015), Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain beraksi dalam kelayakan Piala Dunia pada 2019.