SKUAD Bola Tampar Pantai Bawah 19 Tahun Negara (B-19) bakal membawa cabaran Malaysia buat kali pertama pada Kejohanan Dunia Bola Tampar Pantai B-19 2022 di Turki bermula dari 14 hingga 18 September 2022.
Empat pemain merangkumi dua regu lelaki dan perempuan bakal berhadapan cabaran hebat namun Ketua Kontinjen Negara, Teo Poh Chuan yakin mereka mampu melakukan yang terbaik dan membawa pulang pingat.
“Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) amat berbangga dengan pencapaian skuad B-19 tahun yang layak buat pertama kali ke Kejohanan Dunia di Izmir Turki dari 14 hingga 18 September ini.
“Skuad wanita yang dibarisi Farwizah Aina Ahmad Nizar dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal akan bertanding di peringkat ‘Main Draw’ selepas menduduki tempat keempat di Kejohanan Asia di Roi Et, Thailand pada Ogos.
“Manakala skuad lelaki yang dibarisi Ler Wei Chun dan Looi Kai Xu akan bertanding di peringkat kelayakan untuk memasuki peringkat ‘Main Draw’ dan yakin mereka mampu lakukan yang terbaik dan membawa pulang pingat,” katanya kepada media.
Persatuan Bola Tampar Malaysia juga cuba melahirkan lebih ramai pemain dengan program pembangunan sukan dan mahu lihat sukan ini mengorak langkah lebih jauh.
“Kejayaan empat atlet ini adalah permulaan yang cukup baik dan bakal menjadi suntikan semangat kepada pemain lain untuk mahu mengikut jejak langkah mereka.
“Mava akan cuba melahirkan lebih ramai pemain dengan program pembangunan sukan. Kami juga mahu melihat sukan ini mengorak langkah lebih jauh dan ini terbukti apabila Liga Bola Tampar Mava menerima 3 juta tontonan di televisyen,” tambah Poh Chuan.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker yang berharap Malaysia mampu melahirkan lebih ramai atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan mahu melihat sukan bola tampat pantai ini mampu menyumbang pingat buat kontinjen negara pada masa akan datang.
“Saya berharap dengan penyertaan ini kita berpeluang untuk melahirkan lebih ramai ahli sukan yang berprestasi tinggi dan mampu bersaing dengan atlet dunia.
“Semoga segala usaha murni Mava ini dapat menghasilkan pingat emas kepada kontinjen negara pada Sukan Sea Kemboja 2023 nanti,” katanya ketika ucapan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara.
Sukan bola tampar pantai ini juga akan diperluaskan di seluruh Malaysia bagi mencari bakat-bakat baharu yang akan mewakili negara pada masa akan datang.