PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 23 pemain bagi menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-19 bermula 30 Ogos 2024 sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan dari 21 hingga 29 September 2024.
Skuad muda negara ini terlebih dahulu akan terbang ke Changsha, China pada 31 Ogos 2024 bagi menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di sana iaitu menentang Uzbekistan B-21 pada 4 September, China B-21 pada 7 September dan Vietnam B-21 pada 10 September 2024.
Bagaimanapun sepanjang berada di China, pengendali pasukan, Juan Torres Garrido tidak akan bersama-sama pasukan kerana Torres akan membantu Pau Marti untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya di Kejohanan Pestabola Merdeka dari 4 hingga 8 September 2024.
Di China, skuad akan dikendalikan oleh dua penolong, Noor Zaidi Rohmat dan Shukor Adan yang akan memantau segala aspek taktikal pasukan dalam menyediakan barisan terbaik ke Dushanbe.
Juan Torres akan kembali mengendalikan pasukan dari 12 hingga 16 September, sebelum mereka terbang ke Dushanbe pada 17 September 2024 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E akan bertemu Oman pada 21 September, DPR Korea pada 23 September, Tajikistan pada 27 September dan Sri Lanka pada 29 September 2024, dengan semua aksi akan berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe.
10 pasukan selaku juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China untuk Piala Asia B-20 2025 yang akan berlangsung pada 6 hingga 23 Februari 2025.