SKUAD Harimau Malaya bakal berhadapan New Zealand dalam aksi perlawanan antarabangsa di Stadium North Harbour dan pelbagai persiapan sudah dilakukan skuad kendalian Pau Marti termasuk dari segi pemakanan semua pemain.
Beraksi dalam cuaca dingin bakal menambah cabaran skuad kebangsaan dan kehadiran pakar pemakanan atau dietician dalam pasukan sangat membantu para pemain bagi memastikan mereka kekal cergas dan sentiasa terhidrat terutama sepanjang latihan.
Ada beberapa perkara dan faktor yang perlu diberikan perhatian ketika beraksi dalam cuaca dingin seperti makanan, tahap hidrasi dan suhu badan pemain namun ianya turut bergantung kepada individu kerana masing-masing mempunyai keperluan yang berbeza.
Apabila bermain dalam keadaan cuaca yang dingin, pemain memerlukan lebih kalori bagi mengawal suhu badan kerana badan menggunakan lebih tenaga untuk memastikan tubuh sentiasa panas.
Dalam cuaca dingin juga, ianya penting buat pemain untuk sentiasa terhidrasi dan atas sebab itu, ujian USG untuk melihat status hidrasi sangat penting bagi mengenalpasti status dan mengawal tahap hidrasi setiap pemain.
Atas sebab itu juga, pasukan akan pastikan penyediaan menu sewaktu bertanding di luar negara dapat memberikan pemain makanan yang sesuai dengan keperluan mereka.
Pada Jumaat, Malaysia telah melalui satu perlawanan pemanas badan menentang kelab Auckland FC dan menerusi perlawanan ini, pihak berwajib dapat menganalisa keputusan dan keperluan yang diperlukan para pemain untuk perlawanan seterusnya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mengambil berat tentang kepentingan sains sukan dalam pasukan kebangsaan dan kehadiran pakar pemakanan atau dietician ini diharap dapat membantu meningkatkan tahap prestasi pemain terutama ketika beraksi dalam cuaca yang dingin di Auckland.