SKUAD Hoki Dalam Dewan Negara sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2022 yang bakal berlangsung dari 8 hingga 15 Ogos ini di Bangkok, Thailand.
Selepas kali terakhir diadakan pada 2019 dan kemudian tertangguh ekoran penularan pandemik Covid-19, Persekutuan Hoki Asia (AHF) memutuskan untuk mengadakan kembali kejohanan ini dengan sedikit pertukaran format dilakukan .
Antara pertukaran yang dilakukan adalah kejohanan tahun ini tidak akan memberikan tiket kelayakan ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan kepada para finalis, namun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tetap memandang serius kejohanan ini.
KHM menghantar dua pasukan, lelaki dan wanita untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia ini dan meletakkan sasaran layak ke separuh akhir bagi kedua-dua pasukan untuk mengulangi pencapaian 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan merangkap Pengurus Pasukan Lelaki Kebangsaan, Shurizan Mansor mengumumkan senarai pemain skuad lelaki yang akan berangkat ke Bangkok dalam satu sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.
Shurizan juga turut berkata bahawa persediaan untuk menghadapi kejohanan ini telah bermula sejak November tahun lalu untuk mengenalpasti pemain untuk mewakil negara.
“12 pemain telah dipilih dengan bekas pemain kebangsaan, Muhammad Amin Rahim dilantik sebagai Ketua Jurulatih untuk membawa cabaran negara di kejohanan ini. Kami telah membuat persiapan awal sejak November lalu dengan tiga fasa latihan.
“Kami lakukan latihan secara berfasa kerana kami menunggu tarikh yang ditetapkan oleh AHF dan selepas mengetahui tarikh,
latihan lebih intensif diadakan dan kami bersedia untuk apa juga situasi,” katanya dalam sidang media itu.
Turut hadir adalah Rogayah Mohamad, Pengurus Pasukan Wanita Kebangsaan yang turut sama-sama mengumumkan senarai 12 pemain wanita negara yang dilatih bekas pemain kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi untuk menggalas tugas Malaysia di kejohanan ini.
Sebagai rekod, pada kejohanan di Thailand pada 2019, skuad lelaki telah mendapat tempat ketiga manakala skuad wanita pulang sebagai pasukan keempat terbaik Asia untuk hoki dalam dewan ini.