KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) membubar skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan, selaras dengan kontrak dua ketua jurulatih pasukan terbabit yang telah berakhir.
Malah, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal memberi bayangan skuad kebangsaan dan remaja lelaki akan berwajah baharu, selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2024 pelantikan ketua jurulatih baharu hanya akan dibuat kira-kira sebulan dari sekarang.
“Perbincangan sudah saya lakukan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, pasukan senior dan remaja lelaki sudah dibubarkan.
“Ini bermakna semua pemain kembali kepada kelab masing-masing dan bersedia untuk saingan liga yang akan bermula tidak lama lagi.
“Jadi buat masa ini tiada pasukan kebangsaan dan kita akan bina pasukan baharu selepas berakhir liga,” kata Subahan, dalam sidang media di pejabat KHM, di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Justeru, status A Arulselvaraj dan Muhammad Amin Rahim sama ada disambung atau sebaliknya, tidak dikongsi beliau yang menyerahkan tugas itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, Datuk Majid Manjit Abdullah.
“Jurulatih baharu senior dan remaja lelaki akan diumumkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan mengadakan mesyuarat dan pemilihan terserah kepada mereka.
“Berbeza untuk skuad wanita, kerana skuad ini ditubuhkan di bawah Projek 2026,” ujar Subahan lagi.
Terdahulu, beliau memberitahu, KHM kini menunggu laporan penuh prestasi selepas kegagalan skuad negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dengan Arul perlu menyerahkannya sebelum Ahad ini.
Speedy Tigers sebelum ini terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam.
Malaysia kemudiannya beraksi di pusingan kelayakan di Muscat, Oman turut gagal mengesahkan tiket ke Paris apabila mengakhiri kempen pada kedudukan tercorot.
Skuad lelaki remaja negara pula menamatkan saingan Piala Dunia di Kuala Lumpur di kedudukan ke-12, bulan lalu.