SERAMAI 26 pemain remaja lelaki akan menyertai siri Jelajah Brisbane, Australia sebagai persediaan awal membentuk pasukan remaja kebangsaan yang mantap menjelang saingan Piala Sultan Johor dan Piala Remaja Asia 2024.

Sebanyak enam perlawanan akan dihadapi skuad bimbingan I Vikneswaran itu, yang dijadual pada 24 Julai hingga 6 Ogos di Queensland State Hockey Centre, Brisbane,Australia.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berkata, siri Jelajah itu bertujuan menyediakan pendedahan buat pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan dengan perlawanan berintensiti tinggi, menentang skuad kebangsaan bawah 21 tahun (B-21) Australia dan Kelab Hoki Queensland.

Empat perlawanan menentang skuad B-21 Australia dan dua perlawanan menentang kelab, pasti membantu meningkatkan kualiti pasukan remaja kebangsaan.

Pengurus pasukan, S Ganesan berkata, pemain yang diberi peluang menyertai siri jelajah itu diharap mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan menjadikan pendedahan sebagai satu medan pembelajaran untuk menjadi pemain yang lebih baik.

“Selepas sesi pemilihan pemain baru-baru ini, Siri Jelajah Brisbane adalah langkah pertama mempersiap pasukan ini menghadapi dua kejohanan iaitu Piala Sultan Johor pada Oktober dan Piala Remaja Asia pada Disember.

“Saya harap, setiap pemain yang diberi kepercayaan, mengambil peluang sebaik mungkin dan perlu buktikan bahawa mereka layak kekal dalam pasukan.

Jurulatih skuad remaja lelaki, I Vikneswaran (kanan) memerhati latihan skuad remaja kebangsaan.

“Barisan kejurulatihan akan terus menilai pemain bagi memastikan mereka berkembang pesat sebagai individu dan membentuk pasukan terbaik yang memiliki persefahaman tinggi,” katanya.

Selain Vikneswaran, jurulatih lain, Hairi Rahman, Hanafi Hassan dan Chairil Anwar juga akan bersama pasukan ke Brisbane pada Rabu ini.