PEMAIN Iran, Saeid Ezatolahi membantah keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih pengadil dari Kuwait Ahmad Al Ali sebagai pengadil pada perlawanan separuh akhir Piala Asia 2023 pada Rabu.
Iran akan menentang Qatar pada separuh akhir malam ini. Ezatolahi percaya keputusan ini tidak adil kerana Kuwait dan Qatar kedua-duanya berasal dari wilayah Arab.
“Apa yang mengejutkan kami ialah pengadil untuk perlawanan ini adalah dari Kuwait. Kami membayangkan bagaimana mereka boleh meletakkan pengadil Arab sebagai pengadil.
“Tetapi kami adalah pasukan kebangsaan Iran, kami adalah pasukan besar. Kami mempunyai pemain yang sangat bagus, kami profesional,” kata Ezatolahi seperti dipetik Reuters.
Al Ali telah mengendalikan dua perlawanan peringkat kumpulan dan Pusingan 16. Daripada tiga perlawanan tersebut, terdapat negara Arab seperti Palestin lawan Emiriah Arab Bersatu, Kyrgyzstan lawan Oman dan Bahrain lawan Jepun.
Selain mengulas mengenai asal usul pengadil yang akan mengetuai perlawanan Iran bertemu Qatar, pemain tengah yang bermain di Denmark itu turut menyebut tentang rehat singkat antara perlawanan.
Iran mara ke separuh akhir selepas menewaskan Jepun 2-1. Sebelum perlawanan menentang pasukan Samurai Biru, Iran hanya mempunyai masa dua hari untuk pulih selepas bermain sehingga penentuan sepakan penalti pada Pusingan 16 menentang Syria.
“Dalam kejohanan ini pemain tidak mempunyai masa yang cukup untuk berehat terutama pada pusingan kalah mati. Ramai pemain datang dari kelab masing-masing dan berada dalam tekanan di sini,” jelas Ezatolahi.
Kritikan Ezatolahi itu turut disuarakan jurulatih Amir Ghalenoei yang turut mengulas mengenai video bantuan pengadil (VAR).
“Dalam kejohanan ini sekurang-kurangnya saya boleh mengatakan bahawa VAR tidak benar-benar menyebelahi kami. Terdapat situasi yang kami hadapi menentang Jepun yang kami boleh menerima penalti berkaitan Sardar Azmoun tetapi VAR tidak menyemaknya. Tetapi kami perlu kuat berbanding segala-galanya dalam kejohanan ini,” kata Ghalenoei.