SKUAD B-16 tahun Johor Darul Ta’zim (JDT) akan beraksi di Lion City Cup 2024, sebuah kejohanan bola sepak remaja yang akan kembali untuk edisi ke-28 pada Oktober 2024 yang menyaksikan empat kelab remaja Asia mengambil bahagian.
Selain JDT, kejohanan yang bakal berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2024 itu akan turut menampilkan wakil Thailand, BG Pathum United, skuad muda Singapura dan juga wakil Jepun, Tokyo Verdy FC.
Selepas majlis undian rasmi berlangsung pada Jumaat, JDT dijadualkan bertemua Tokyo Verdy di Stadium Jalan Besar pada 4 Oktober 2024 sebelum skuad B-16 Singapura bertemu BG Pathum United dengan pemenang akan bersaing di final dan kedua-dua pasukan yang tewas akan bersaing untuk penentuan tempat ketiga.
Pengendali BG Pathum United, Chatree Chimtalay yang juga juara bertahan mengakui kehadiran dua pasukan ternama dalam kejohanan kali ini memberikan lebih pendedahan buat pasukannya sebagai persiapan untuk menghadapi pelbagai lagi kejohanan domestik dan antarabangsa
“Pengalaman bermain di kejohanan antarabangsa adalah penting buat perkembangan pemain untuk menguji mereka ke tahap maksimum dan kami teruja untuk kembali beraksi di kejohanan yang baik ini.
“Bersaing dengan pasukan yang kuat dalam perlawanan kompetitif akan memberikan kami pelbagai perkara positif terutama dari sudut pengalaman serta akan berikan kami peluang untuk melihat kekuatan dan kelemahan pasukan untuk diperbaiki,” katanya.
Sementara itu pengendali skuad B-16 Singapura, Angel Toledano gembira kerana pasukannya akan diuji skuad utama Asia dan berharap dapat berikan saingan sebagai medan menambah pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Saya berharap kali ini pasukan dapat memenangi kejohanan ini dan kami perlu gunakan peluang bertemu pasukan terbaik rantau ini untuk menimba pengalaman menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 nanti.
“Berhadapan pasukan seperti Tokyo Verdy, JDT dan BG Pathum, kami jangkakan satu tahap pertandingan tinggi yang akan berikan kebaikan kepada kami dari segi pembangunan pasukan,” jelasnya.
Skuad muda JDT kini bersaing di Liga Remaja Singapura dengan menunjukkan perbezaan kualiti yang tinggi apabila mudah menewaskan setiap pasukan untuk menerajui takhta liga.