PEMAIN tengah kebangsaan, Brendan Gan berpendapat skuad Harimau Malaya kali ini adalah antara yang terbaik dan berharap para pemain dapat melaksanakan tugas dengan baik ketika berhadapan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China.
Dia memuji kualiti yang ada pada Liga Super yang padanya dapat menghasilkan pemain berkualti yang pada akhirnya dapat mewakili negara dan bersedia untuk menjalankan tugasan yang diberikan.
Pemain berusia 35 tahun itu juga menjangkakan satu perlawanan yang bercorak fizikal apabila berhadapan dua pasukan di ranking 80 dan 92 dunia itu namun dia percaya ini adalah apa yang diperlukan oleh skuad kebangsaan sebelum menghadapi Piala Asia AFC Januari depan.
“Ramai pemain di Malaysia kini mampu untuk mewakili negara dan inilah kelebihan yang ada pada Liga Super yang melahirkan ramai pemain berkualiti sekaligus menjadikan skuad kali ini lebih kuat dan berharap kami dapat laksanakan tugas dengan cemerlang.
“Ianya sudah pasti satu perlawanan yang sukar tetapi ini yang kami perlukan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia dan juga persiapan ke Piala Asia. Kami perlu bermain permainan sukar ini bukan hanya untuk menguji sebagai individu tetapi juga sebagai satu pasukan untuk melihat di mana kekuatan dan kelemahan kami. Ini juga penting buat barisan kejurulatihan mengkaji di mana tahap pasukan ini berada.
“Kami juga jangkakan aksi yang lebih fizikal bertemu Syria dan China kerana mereka mempunyai tubuh yang besar dan mereka juga bagus dalam ‘set piece’ tetapi kami hanya perlu fokus kepada diri kami dan cara permainan kami dengan apa yang telah diberikan oleh barisan kejurulatihan.
“Kami sudah mengetahui apa yang akan dilakukan oleh kedua-dua pasukan lawan dan berharap dengan input itu ianya akan memberikan kelebihan buat kami,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sebagai antara pemain paling senior dalam skuad kali ini, Brendan mahu terus memberikan motivasi kepada para pemain dan tidak kisah siapa pun yang akan menjaringkan gol kerana apa yang lebih penting adalah pasukan mencatat kemenangan.
“Sebagai salah seorang pemain senior dalam skuad ini, saya sering ingin membantu rakan-rakan sepasukan dan bersikap mementingkan pasukan. Ada beberapa individu dalam skuad yang kita perlu gunakan kelebihannya untuk membantu pasukan dan saya akan terus memberikan motivasi dan mengetuai mereka dalam pelbagai hal.
“Saya juga tidak peduli siapa pun yang menjaringkan gol asalkan pada akhirnya kami memenangi perlawanan. Bola sepak adalah perlawanan berpasukan dan kami perlu membantu satu sama lain dan siapa pun yang menjaringkan gol tidak penting asalkan kami menang,” jelasnya.
Malaysia bermain di luar negara buat pertama kali sejak sekian lama dan akan menggunakan kesempatan ini untuk menguji kekuatan mental dan fizikal pasukan apabila bermain di laman lawan dan membuktikan mereka mampu memberikan keputusan yang terbaik buat negara.