BEKAS jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengakui semakin yakin dengan corak persembahan dipamerkan Harimau Malaya.

Jelasnya, dua perlawanan yang diharungi sebelum ini semakin menampakkan keserasian dan kematangan para pemain yang diturunkan.

Selain itu, Pan-gon semestinya mempunyai rencana tertentu bagi pembangunan pemain muda yang diyakini mampu menggegar dunia bola sepak di peringkat lebih tinggi.

“Saya lihat keserasian itu akan datang apabila mereka bermain perlawanan demi perlawanan.

“Jurulatih dan pasukan kebangsaan pasti ada wawasan masing-masing. Mereka sudah pasti ingin melihat pemain baru yang boleh mengambil alih posisi penting skuad kebangsaan,” jelasnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Wan Jamak menjelaskan pemain perlu pantas menyesuaikan diri dengan format baharu Piala AFF secara home dan away berbeza dengan format venue sebelum ini yang diadakan hanya di satu tempat.

“Format sekarang sudah berubah. Senario sekarang juga sudah lain, kalau dulu mereka bermain hanya di satu lokasi namun sekarang ini ada beberapa lokasi dalam Kejohanan Piala AFF,” ujarnya.