JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak mempunyai masalah untuk mencatat kemenangan keatas wakil Singapura, Lion City Sailors FC 2-1 walaupun beraksi dengan pasukan ‘kedua’ pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Bishan, Singapura.
Harimau Selatan turun tanpa pemain-pemain utama seperti Bergson Da Silva, Fernando Forestieri, Jalil Elias, Jordi Amat dan MVP Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi dengan hanya membariskan tiga pemain import dalam kesebelasan utama.
Meskipun tanpa pemain utama, juara 10 kali Liga Super itu masih mempamerkan aksi dominan dengan menguasai permainan sambil bertukar-tukar hantaran bermula dari bahagian bawah yang dikawal Natxo Insa dan Nazmi Faiz.
JDT tidak menunggu lama untuk berada di depan selepas Nicolao Dumitru menjaringkan gol pertama pada minit kesembilan yang juga gol pertama dalam debutnya bersama JDT dalam perlawanan kompetitif.
Berselang 15 minit, penyerang kebangsaan, Romel Morales melakukan sepakan gunting menarik selepas menerima hantaran dari Junior Eldstal sekaligus meletakkan skuad kendalian Hector Bidoglio selesa 2-0.
Berpunca dari serangan balas selepas Oscar Arribas hampir melebarkan kelebihan JDT, Lion City Sailors berjaya merapatkan kedudukan selepas Maxime Lestienne bijak merembat bola melepasi jangkauan Syihan Hazmi untuk merapatkan kedudukan.
Memasuki babak kedua, Hector melakukan pertukaran dengan membawa keluar Nazmi dan Natxo lalu memberi peluang buat Endrick Dos Santos dan Hong Wan untuk membuktikan kemampuan mereka mengemudi jentera tengah JDT.
Harimau Selatan memiliki kelebihan seorang pemain selepas pertahanan Lion City Sailors, Hami Syahin dilayangkan kad merah selepas mengasari Safiq Rahim pada minit ke-65 sekaligus menyaksikan penguasaan penuh JDT di hadapan 5,700 penonton yang hadir.
Hector turut membawa masuk Heberty Fernandes, Mohamadou Sumareh, Ramadhan Saifullah dan Syahmi Safari pada penghujung perlawanan bagi memastikan JDT mengekalkan kelebihan satu gol untuk mencatat kemenangan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 April dengan JDT dijangka akan menurunkan kesebelasan terbaik di hadapan penyokong setia mereka.