SKUAD bawah 16 tahun (B-16) Kelantan United FC (KUFC) berjaya mencipta kemenangan positif  pada perlawanan persahabatan B-16 antarabangsa Kasaoka apabila menewaskan Akademi Arcobaleno FC 4-1.

Kejayaan yang berjaya dicipta di tanah Jepun tersebut sekali gus melayakkan KUFC ke perlawanan akhir kejohanan tersebut menentang Fagiano Okayama.

Malangnya, impian ketua jurulatih skuad B-16 untuk melihat anak buahnya melakar kejuaraan di perlawanan persahabatan tersebut gagal apabila kalah 3-2 bersama pihak lawan.

Menurut pengendali skuad B-16 KUFC, Rezal Zambery Yahya meluahkan perasaannya bahawa beliau rasa berpuas hati dengan prestasi pemain yang cemerlang di Jepun walaupun kalah tipis di perlawanan akhir.

Tambahnya, keadaan cuaca yang sejuk merupakan salah satu cabaran ketika bermain di sana namun aksi yang ditampilkan oleh skuad bimbingannya itu telah menangkis halangan sekali gus membuktikan kekuatan mereka.

“Ini merupakan satu pendedahan terbaik buat pasukan saya dan acara seperti ini dapat lebih menilai sejauh mana kemampuan pemain dan juga kemenjadian proses pembangunan yang telah dibuat.

“Kita memilih untuk bermain di Jepun kerana mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Kota Bharu dan juga penaja kejohanan ini memiliki sebuah syarikat di Kota Bharu,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Rezal juga menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan berhenti berusaha di kejohanan itu sahaja namun mereka akan terus berlatih dan memperbaiki kekurangan yang ada.

“Bagi masa depan pemain, mereka perlu lebih bekerja keras kerana saya rasa mereka mempunyai bakat yang cukup baik untuk diketengahkan.

“Masih terlalu awal untuk mengharungi perjalanan ke liga professional tetapi dengan usaha berterusan, tidak mustahil mereka ini akan menyarung jersi Kelantan United FC suatu hari nanti”, ulasnya.