JUMLAH keseluruhan skuad Harimau Malaya yang bersaing di Kejohanan Piala Asia 2023 bernilai €6.73 juta (RM34.26 juta), berada di kedudukan ke-19 daripada 24 pasukan yang bertanding mengikut laman Transfermarkt.
Antara pemain paling bernilai dalam skuad Malaysia ialah Dion Cools dengan nilai RM3.8 juta, Arif Aiman RM2.8 juta manakala Faisal Halim bernilai RM2.04 juta menjadikan nilai Harimau Malaya di tempat ketiga dari empat pasukan Asia Tenggara yang bertanding.
Thailand muncul pasukan Asia Tenggara paling bernilai dengan €8.93 juta dan Indonesia kedua dengan nilai €8.70 juta manakala Vietnam pula di tempat keempat dengan nilai €6.33 juta.
Berdasarkan pasukan yang bertanding bersama-sama Malaysia dalam Kumpulan E, Harimau Malaya mempunyai nilai skuad terendah dengan Korea Selatan sebagai pasukan termahal dengan nilai €193 juta manakala Jordan bernilai €13.13 juta dan Bahrain pula bernilai €9.68 juta.
Perkara ini jelas menunjukkan Malaysia sememangnya adalah pasukan underdog namun nilai pasaran bukanlah ukuran prestasi sesuatu pasukan dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu melakar kejutan di kejohanan Piala Asia ini.
Pasukan bintang Jepun yang majoriti pemainnya beraksi di Eropah menjadi pasukan dengan nilai pasaran pemain tertinggi dengan nilai €316.95 juta, jauh mengatasi Korea Selatan di tempat kedua dan Iran di tangga ketiga manakala Australia keempat.