KEJOHANAN Memanah Para Dunia Fazza ke-8 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tumpuan skuad memanah para negara, apabila meletakkan sasaran untuk mendapatkan satu lagi slot ke Sukan Paralimpik Paris 2024, terutamanya dalam acara compound berpasukan.
Selepas dua pemanah para negara, S. Suresh (recurve) dan Nur Jannaton Abdul Jalil (compound) mengesahkan tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024 pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand pada bulan lalu, acara compound lelaki menjadi sasaran.
Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangaaan Malaysia, Muhammad Zul Izzi Ab Manaff berkata, pihaknya meletakkan harapan cukup tinggi agar skuad compound lelaki juga mampu melayakkan diri ke Paris 2024.
“Kita ada satu lagi kelayakan akhir di Fazza Dubai dan kita akan meletakkan sasaran agar satu atau dua lagi slot untuk compound lelaki.
“Kita juga berharap acara berpasukan dan berpasukan campuran dalam acara compound turut ke Paris 2024 nanti. Seramai lima atau enam orang akan ke Dubai nanti.
“Kita melihat untuk acara compound berpasukan masih ada tiga slot untuk direbut dan untuk acara individu bergantung kepada ranking dunia.
“Buat masa ini kita memberi tumpuan kepada acara compound berpasukan lelaki terlebih dahulu kerana prestasi mereka lebih bagus pada ketika ini,” katanya, ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan (JKKS).
Antara senarai awal yang akan membuat penampilan ke Fazza, Dubai ialah Nur Jannaton, Wiro Julin dan G Daneshena dalam acara compound manakala S Suresh, Nur Faizal Hamzah bagi acara recurve.