SKUAD para renang negara menjadi penerima insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) tertinggi selepas mencatat pencapaian cemerlang ketika Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja, pada Mei.

Kejayaan meraih 26 pingat emas, 12 perak dan 10 gangsa dari Pusat Akuatik Morodok Techo, skuad para renang negara kini tersenyum lebar apabila meraih keseluruhan wang kemenangan bernilai RM494,500.

Insentif kemenangan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) 2023 pada Rabu.

Dalam majlis yang sama, kecemerlangan atlet negara di temasya Sukan SEA Kemboja turut diraikan dengan skuad olahraga menerima insentif tertinggi apabila meraih keseluruhan RM141,000 selepas berjaya memenangi lima emas, tiga perak dan 11 gangsa manakala skuad pencak silat pula menerima RM115,000 selepas menbawa pulang empat emas, lima perak dan empat gangsa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata secara keseluruhan ganjaran yang diberikan kepada atlet yang memenangi pingat pada kedua-dua temasya itu berjumlah RM2.4 juta.

Hannah juga berharap dengan adanya ganjaran itu, ia diharap dapat dijadikan pendorong buat atlet negara meraih pencapaian yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Hari ini kita telah berikan ganjaran berjumlah RM2.4 juta dan kita tahu ianya tidak setinggi ganjaran negara lain tetapi kita perlu usahakan untuk ganjaran-ganjaran lebih tinggi untuk mendorong atlet kita.

“Skuad Para renang dapat hampir setengah juta ringgit, bermaksud itu boleh jadi matlamat buat semua sukan lain dan menjadi inspirasi kepada mereka untuk bekerja lebih kuat,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Majlis itu turut meraikan kejayaan atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Khas 2023 di Berlin, Jerman dengan Kontinjen Malaysia membawa pulang empat emas, lima perak dan sembilan gangsa untuk menerima insentif khas keseluruhan berjumlah RM95,500.