SAINGAN badminton Piala Sudirman bermula Ahad bakal menjadi penanda aras sejauh mana kemajuan perubahan dalam skuad badminton negara selepas kegagalan di Kejohanan Berpasukan Campuran Asia, yang berlangsung di Dubai, Februari lalu.

Sekali lagi diundi berada satu kumpulan dengan India, pasukan negara yang memegang status pilihan ketiga/keempat kejohanan akan turut disaingi Taiwan dan Australia, satu undian yang agak penuh muslihat.

Di atas kertas, mungkin skuad negara terlalu ampuh untuk ditewaskan, namun jika semangat yang sama dipamer pemain di Kejohanan Berpasukan Asia lalu, tiada pasukan lawan yang berasa mustahil untuk menewaskan pasukan Malaysia.

Sememangnya skuad negara tidak memiliki rekod cemerlang di Piala Sudirman, namun sampai bilakah episod lama akan berterusan.

Pencapaian terbaik negara di kejohanan ini adalah di Guangzhou, China 2009 dan Vantaa, Finland 2021, apabila skuad negara tersingkir di separuh akhir.

Esok pasukan negara membuka gelanggang kumpulan C menentang Australia, manakala Taiwan menentang India, satu perlawanan yang amat penting untuk pemain memungut mata pertama kerana perlawanan berikutnya menentang India dan Taiwan, bukanlah satu lawan mudah.

Piala Sudirman.. trofi yang belum pernah dimiliki Malaysia biarpun bergelar negara kuasa badminton dunia.

Hanya dua pasukan yang akan layak ke peringkat suku akhir, kemenangan mutlak ke atas Australia amat dituntut sebelum pemain berdepan cabaran getir dari india pada Isnin, lawan yang sama menewaskan Malaysia 4-1 di peringkat kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia.

Dengan kemelut melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pasukan wanita Sukan SEA Kemboja tewas mengejut kepada Filipina, peminat pastinya mengharapkan pemain yang menggalas tanggungjawab di Piala Sudirman, memberi respon positif dengan mempamer prestasi terbaik di Suzhou, China.

Tidak mustahil jika prestasi hambar diteruskan, mungkin selepas ini tindakan lebih wajar diambil ke atas pemain.