LUAR biasa aksi dipamerkan pemain badminton senior negara di Suzhou, China, apabila mencatat ‘clean sheet’ kedua pada saingan Piala Sudirman.

Selepas menepati ramalan menewaskan Australia 5-0, persembahan ditampilkan ketika berdepan India, cukup menakjubkan apabila semua pemain diturunkan melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

Paling memukau aksi Goh Jin Wei yang boleh dianggap pertembungan berdepan lawan ‘gergasi’, PV Sindhu.

Perlawanan ketiga antara kedua-dua pasukan itu menyaksikan Jin Wei tunduk set pertama 14-21, namun melakukan kebangkitan dengan kemengan 21-10 pada set kedua.

Walaupun kelihatan amat penat, Goh Jin Wei tetap memberi saingan hebat hingga beroleh kemenangan ke atas PV Sindhu.

Dari segi fizikal sahaja Jin Wei sudah jauh ketinggalan berbanding Sindhu apatah lagi ranking dunia, pemain negara di tangga ke-30 dan lawan dari India itu di kedudukan ke-11.

Dalam kelelahan mengejar bulu tangkis ke segenap gelanggang, ternyata Jin Wei juga memaksa Sindhu kepenatan.

Menyedari lawan sudah kepenatan bermain tiga set pada perlawanan pertama menentang Taiwan pada Ahad, Jin Wei mengerah segala keringatnya dan Berjaya memenangi perlawanan set penentuan 22-20 dan menghadiahkan mata ketiga buat pasukan negara.

Goh Soon Huat-Shevon Lai menjadi pemangkin semangat pasukan Piala Sudirman Malaysia, memberi mata pertama buat negara.

“Sudah habis perlawanan baru boleh rehat… mata ke mata sangat rapat dan saya tidak boleh lalai walau sesaat.

“Menentang Sindhu kali ini saya memang nak menang walau tahu tiada harapan diletak pada perseorangan wanita. Bagi saya, siapa yang diturunkan untuk beraksi bertanggungjawab cari kemenangan, ambil mata buat pasukan bukan digalas individu tertentu sahaja,” kata Jin Wei, sejurus selepas tamat perlawanan.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Jin Wei tewas semua empat perlawanan kepada pemain India yang pernah muncul juara dunia itu.

Sebelum pemain kelahiran Pulau Pinang itu beraksi, skuad negara mendahului 2-0 menerusi kemenangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai ke atas Dhruv Kapila-Aswini Ponnappa 21-16, 21-17 dan Lee Zii Jia ke atas S Kidambi, 21-16, 21-11.

Lee Zii Jia mengatasi S Kidambi, hadiahkan mata kedua buat skuad Piala Sudirman negara.

Kemenangan Zii Jia ke atas Kidambi itu boleh dianggap sebagai melunaskan hutang selepas pemain nombor lapan dunia negara, ditewaskan pada Terbuka Jepun tahun lalu.

“Kali ini saya memilih untuk bermain dengan lebih banybak bersabar, dan melupakan kekalahan lalu kerana setiap perlawanan itu berbeza.

“Mendapat sokongan padu rakan sepasukan di belakang sangat memberi makna dan saya harap kemenangan ini memberi suntikan moral besar buat saya dan rakan-rakan untuk kita teruskan pada perlawanan menentang Taiwan,” kata Zii Jia.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik beraksi dengan lebih yakin di Suzhou, China.

Meneruskan kecemerlangan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tampil lebih meyakinkan ketika mengatasi Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-19.

Turut tampil yakin, gandingan puteri negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya membalas dendam dek kekalahan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia lalu, di tangan Teresa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela dengan kemenangan 21-15, 21-13.

Esok pasukan negara mendapat rehat sehari dan hanya akan berdepan Taiwan pada Rabu, untuk melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan C.