SKUAD Piala Uber negara tidak diletakkan harapan menggunung, apa lagi tanpa barisan terkuat, namun ia bukanlah satu alasan untuk pemain mengalah sebelum bertanding.
Pemain senior yang juga kapten skuad Piala Uber Malaysia, Teoh Mei Xing berkata: “Kalau terus mengalah, lebih baik tak perlu pergi langsung.”
Mengakui skuad wanita negara bukanlah pasukan pilihan untuk saingan Piala Uber 2024 di Chengdu, China bermula 27 April sehingga 5 Mei depan, apa lagi tanpa kehadiran gandingan Pearly Tan-M Thinaah yang menumpukan kepada persiapan ke Sukan Olimpik Paris.
Sambil mengakui ada tekanan, Mei Xing mahu semua pemain bersama-sama menggalas beban itu, supaya ia menjadi ringan.
“Semua persediaan dilakukan dengan baik dan fokus untuk Piala Uber tidak kira perseorangan atau beregu. Sedikit tekanan dirasakan, tetapi saya percaya keupayaan rakan sepasukan dan harap kami dapat pamerkan persembahan terbaik serta membuatkan penonton gembira dengan permainan kami.
“Kami tidak fikir banyak dan akan berikan apa yang termampu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Selasa.
Mengulas mengenai undian di Chengdu, Mei Xing berkata, kesemua lawan pada peringkat Kumpulan B iaitu Thailand, Taiwan dan Australia adalah lawan sukar dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Namun katanya, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk skuad negara melangkah jauh terutamanya ke suku akhir.
“Tentu sekali tiada yang mustahil, kita perlu yakin yang kita boleh lakukan. Kita berjuang sehingga ke akhirnya (dan) kena percaya boleh pergi suku akhir, kalau terus mengalah, lebih baik tak perlu pergi langsung,” katanya.
Kali terakhir skuad wanita negara mara ke suku akhir Piala Uber adalah di Kuala Lumpur pada 2010 dengan ketika itu tewas 0-3 di tangan Indonesia.
Sementara itu, Mei Xing berkata, dia kemungkinan besar akan digandingkan bersama Go Pei Kee selepas rakan gandingannya, Anna Cheong masih belum pulih daripada kecederaan.
Bagi saingan Piala Uber, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain perseorangan wanita berpengalaman, Goh Jin Wei dan K Letshanaa dalam pasukan.
Mereka akan disertai Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Mei Xing, Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse.