SKUAD Piala Uber negara berjaya mengelak daripada menghuni tangga tercorot, selepas menamatkan saingan kumpulan B dengan kemenangan ke atas Australia.

Kemenangan 4-1 itu setidak-tidaknya memelihara maruah negara sebagai antara kuasa badminton dunia, sekali gus mengelak ‘bencana’ Sukan Sea Kemboja ketika kalah kepada Filipina daripada berulang.

Perseorangan wanita paling berpengalaman, Goh Jin Wei memulakan rentak cemerlang apabila meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Uber ini, apabila mengatasi Tiffany Ho 21-6, 21-12 dalam masa 29 minit.

Goh Jin Wei mencapai kemenangan pertama dalam kempen Piala Uber kali ini.

Begitupun, harapan melihat kapten, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee menyumbang mata tidak kesampaian, apabila mereka tunduk kepada Setyana Mapasa-Angela Yu 15-21, 17-21.

Terikat 1-1, Wong Ling Ching yang kali pertama beraksi di Piala Uber, tiada masalah menundukkan Sydney Tjonadi 21-16, 21-3, kembali meletakkan pasukan negara di hadapan.

“Hari ini, dari segi fikiran saya lebih berani tetapi saya rasa mental dan kesabaran dalam perlawanan, saya perlu tingkatkan lagi,” kata Ling Ching.

Begitupun, pengalaman pertama di Piala Uber memberikannya bayangan mengenai perbezaannya dengan pemain ternama dunia lain.

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee tewas pada perlawanan terakhir kumpulan B.

“Ada jurang antara saya dengan pemain lain seperti Pornpawee Chochuwong.

“Ketangkasan dalam gelanggang dan pengalaman mereka jauh berbeza dan saya perlu berkerja keras dari segi fizikal dan kemahiran selain mengharapkan peluang lebih banyak menyertai kejohanan.”

Selepas Ling Ching, gandingan Ho Lo Ee-Tan Zhing Yi tiada masalah meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya mengatasi Kaitlyn Ea-Gronya Somerville 21-12, 13-21, 21-10 dan Siti Zulaikha melengkapkan kemenangan 4-1, dengan menewaskan Isabella Yan 21-10, 21-10.

Kemenangan ke atas Australia itu membolehkan skuad wanita menamatkan saingan Piala Uber di kedudukan ketiga kumpulan B, di belakang Thailand dan Chinese Taipei.