BIARPUN tiada lagi perjuangan untuk menaiki podium, skuad Piala Uber negara tetap mahu menamatkan saingan dengan bermaruah, untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu kemenangan, iaitu ke atas Australia esok.

Pemain perseorangan, K Letshanaa berkata, mereka akan cuba memberikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok walaupun menyedari ia tidak akan memberikan sebarang makna.

“Kita cuba lagi yang terbaik dan mencatat kemenangan dengan mereka. Menang atau kalah kita kena bagi yang terbaik,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

Wong Ling Ching ketika beraksi menentang Thailand.

Hasrat Malaysia untuk mara ke suku akhir Piala Uber yang berlangsung di Chengdu, China tidak kesampaian apabila tumpas buat kali kedua berturu-turut dan semalam mereka kalah 0-5 dengan Thailand, manakala pada aksi pembukaan mereka kalah 1-4 kepada Taiwan.

Turut sependapat dengan Letshanaa ialah seorang lagi pemain perseorangan, Wong Ling Ching yang mengakui tidak berpuas hati selepas tumpas kepada Pornpawee Chochuwong 11-21, 15-21 semalam.

“Saya tidak puas hati dan harap perlawanan seterusnya (bertemu Australia) mampu memberikan persembahan terbaik,” katanya yang kali pertama beraksi di kejohanan berkenaan.

Segala kudrat telah diberikan skuad wanita negara. -Teoh Mei Xing, kapten skuad Piala Uber.

Sementara itu, ketua pasukan, Teoh Mei Xing mengakui mereka sudah memberikan segala-galanya ketika beraksi bertemu Thailand semalam namun mengakui kemampuan mereka masih jauh dengan pemain kelompok 10 teratas.

Ditanya mengenai pertemuan dengan Australia esok, Mei Xing berkata, negara berkenaan membariskan pemain yang berkualiti seperti gandingan beregu, Setyana Mapasa-Angela Yu yang bakal ditentangnya bersama Go Pei Kee.

“Sudah tentu Mapasa seorang pemain berpengalaman dan Australia juga membawa Angela, dia pun pemain yang bagus dan kalau tak silap saya mereka beberapa pernah memasuki final kejohanan antarabangsa.

“Jadi mereka agak kuat dan harapnya kami dapat memberikan saingan dengan mereka juga nanti,” kata Mei Xing yang tewas kepada gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 10-21, 14-21, semalam.