WALAUPUN kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa, kapten pasukan Ragbi Wanita 7 sebelah (7s) berharap pemain yang kebanyakannya beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini, bersedia dari segi kecergasan.

Rozliana Mohd Ridwan, antara tiga pemain senior yang terpilih memperkuat pasukan negara ke Siri 1, Kejohanan Ragbi Asia, Ragbi Wanita 7 sepasukan (7s) di Bangkok, 22 dan 23 Oktober ini.

“Tahap permainan pasukan lawan agak tinggi, tapi kami akan cuba yang terbaik dengan kebanyakan pemain muda diserapkan ke dalam skuad ini. Walaupun tiada perlawanan antarabangsa selain persahabatan dengan Singapura minggu lalu, saya harap panggilan kem kebangsaan yang singkat ini tiada masalah untuk pemain mendapatkan tahap kecergasan.

“Ketika ini, kami cuba dapatkan keserasian dan persefahaman di atas padang,” kata Rozliana, 32.

Selain Rozliana, Norfarhana Aziz, 25, dan AfiayahFauzi, 25, pemain lain sangat muda dan beraksi di Sukma baru-baru ini.

Hanya tiga pemain senior terbabit berpengalamanberaksi di Kejohanan Ragbi Asia tahun lalu.

Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama China, Hong Kong dan Sri Lanka, namun Sri Lanka tidak akan beraksi berikutan digantung Kesatuan Ragbi Asia.

Justeru, skuad negara diharap dapat mengatasi Hong Kong, sekaligus mencerahkan peluang menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik berbanding tahun lalu, skuad negara menamatkan saingan di keuddukan ketujuh daripada lapan pasukan bertanding.