AHMAD Jais Baharun selaku jurulatih berpengalaman negara memberi bayangan bahawa mungkin terdapat rombakan barisan utama sepak takraw negara apabila dia masih mengintai bakat-bakat pemain yang berpotensi di luar.

Hal ini kerana beliau turut mengakui bahawa skuad sepak takraw memerlukan ‘sparring‘ yang lebih baik dan daya saing yang lebih tinggi supaya pemain sedia ada tidak berasa lega kerana kerap berada di zon selesa.

Ahmad Jais mahu melihat adanya tekanan kepada pasukan supaya masing-masing saling berebut tempat dalam pasukan kebangsaan sekali gus menampilkan kesungguhan untuk mewakili negara.

“Kalau kita lihat sebenarnya ada beberapa pemain yang tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan di luar. Jadi kita akan berbincang dengan pihak persatuan dan Majlis Sukan Negeri tentang bagaimana cara untuk kita membawa masuk pemain yang mempunyai potensi besar berada dalam skuad kebangsaan.

Ahmad Jais Baharun mahu lihat kebolehan pemain luar.

“Hal ini supaya kita mendapat sparring yang lebih baik, daya saing lebih tinggi dan tidak membiarkan pemain berasa selesa.

“Mengenai rombakan itu juga kita akan berbincang dahulu dengan pihak persatuan untuk menilai prestasi keseluruhan pemain daripada kejohanan seterusnya,”ujar beliau.

Ahmad Jais menambah bahawa sesi pemilihan pemain itu mengikut kepada kejohanan-kejohanan sepak takraw yang diadakan.

Pihaknya akan menilai sejauh mana kemampuan pemain pada perlawanan berkenaan supaya dapat membuat pemilihan terbaik buat pasukan sepak takraw negara.