SEBALIK kegagalan demi kegagalan untuk menyaingi Thailand di pentas antarabangsa, terutamanya dalam saingan Sukan Sea Kemboja, Piala Raja Thai dan Sukan Asia Hangzhou, skuad sepak takraw negara masih diletakkan kepercayaan untuk menyinar di Piala Dunia yang bakal berlangsung bulan depan.
Ia diakui oleh bekas pemain kebangsaan, Sulaiman Salleh mengenai kemampuan skuad negara untuk menjulang trofi berkenaan di laman sendiri dan membalas dendam di atas kekalahan tahun lalu.
“Saya tengok peluang hendak menang itu ada, 90 peratus kita boleh catatkan kemenangan. Ini kerana dari segi serangan nampak boleh memberikan tentangan kepada Thailand,” kata bekas pemain kebangsaan dari 2003 hingga 2007 itu.
Jelasnya, Thailand tidak ampuh bertahan ketika menerima servis dan rejaman pemain negara.
“Lagi pun beraksi di laman sendiri sokongan padu penyokong akan memberikan kelebihan buat pasukan kebangsaan. Selain bantuan dua perunding dari Thailand yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pertahanan negara,” katanya.
Sulaiman berada dalam skuad yang menyumbang dua perak di Sukan Asia Doha 2006 menerusi acara berpasukan dan antara regu, mengakui pemain muda dan senior sudah mula menunjukkan keserasian.
Katanya, ada kesinambungan antara pemain muda dan senior yang tidak terlalu jauh jurang sekali gus memberi kelegaan buat peminat sukan sepak takraw negara.
“Antara pelapis dan senior tidak jauh beza, cuma senior mempunyai pengalaman dari segi taktikal berbanding pelapis yang agak kurang.
“Thailand tiada masalah, mereka sentiasa ada pengganti walaupun ramai pemain senior bersara. Pelapis mereka sentiasa bersaing untuk naik ke atas,” katanya.
Sebanyak 21 negara sah bersaing di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini pada 18 hingga 26 Mei ini.
Sebanyak 12 negara bersaing dalam kategori Premier iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina.
Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh.