LATIHAN pusat di Ratchaburi, Thailand, dan penyertaan di Piala Pattaya amat signifikan buat skuad sepak takraw negara, dalam usaha menilai sejauh mana keserasian dicapai setiap regu yang disenarai pendek skuad akhir ke Sukan Asia dinamakan.
Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun enggan melayan telahan yang mungkin membicarakan kekuatan skuad negara bakal dihidu Thailand, apabila menjalani latihan di sana, sebaliknya sparring berkualiti dan berintensiti tinggi amat diperlukan sebelum bertolak ke Hangzhou.
“Kita kena ambil sebagai satu cabaran kerana kita nak dapatkan satu sparring yang berkualiti. Ini kerana kita nak uji pemain kita dalam regu dan berpasukan kepada pasukan yang kita rasakan boleh memberikan saingan. Jadi kita perlu bersiap sedia untuk mengadakan pertandingan dan latihan di sana.
“Yang penting, kita perlu persiapkan pasukan kita dahulu ke arah memantapkan prestasi mereka berbanding di Sukan SEA mahupun Piala Raja Thai sebelum ini. Itu kita tumpukan sebagai persiapan terakhir ke Sukan Asia,” kata Ahmad Jais.
Tempoh lebih dua minggu berada di Thailand bermula 17 Ogos akan memberi peluang buat Ahmad Jais membuat penilaian terbaik sebelum menggugurkan tiga lagi pemain kerana hanya 12 pemain boleh dinamakan ke Sukan Asia Hangzhou.
Pada Ahad, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman dalam satu sidang media mengumumkan senarai 15 pemain yang akan menyertai latihan dan pertandingan di Thailand sehingga 4 September ini.
Daripada 15 nama berkenaan yang dijadual menyertai dua perlawanan ujian dan empat slot di Piala Pattaya itu, hanya 12 nama akan dimuktamadkan untuk membawa nama negara ke Sukan Asia bermula bulan depan.
“Kita bersetuju untuk latihan pusat di sana (Ratchaburi) dan merangka dua perlawanan ujian, menentang barisan pilihan pemain dari liga Thailand dan keduanya, menentang pemain pilihan yang terdiri daripada bekas pemain kebangsaan negara Gajah Perang itu sendiri.
“Jadi dua perlawanan ujian ini dapat memberikan input berguna kepada pemain dalam kita menilai tahap kemampuan pasukan untuk bersaing dengan pemain Thailand khususnya… ini kerana suasananya manakala pemain di Thailand sekiranya dibandingkan Indonesia dan Korea, amat berbeza.
“Jadi itu menyebabkan kita mengambil keputusan, mengadakan latihan dan dua perlawanan ujian di sana dan kita juga dapat empat slot di Piala Pattaya,” kata Ahmad Jais yang turut mengakui, persiapan di Thailand bakal memperbaiki tahap kekuatan mental pemain.
Menurutnya, lebih kerap menentang pasukan dari Thailand, mungkin dapat menghilangkan rasa gugup atau terlalu menghormati lawan, pada perlawanan sebenar di Hangzhou, 23 September hingga 8 Oktober nanti.
“Kita rasakan ada beberapa kekangan atau kekurangan daripada pasukan kita khususnya semasa pemain bermain di peringkat antarabangsa. ISN (Institut Sukan Negara) juga ada membantu menyediakan pakar motivasi untuk pasukan dalam menghadapi kejohanan besar yang akan disertai terutama di Sukan Asia nanti.
“Mulai minggu ini, pasukan akan memulakan latihan dan dalam masa sama, ISN juga akan terus membantu pasukan negara dengan memberikan input berguna kepada setiap pemain dalam menghadapi temasya besar seperti Sukan Asia,” kata Ahmad Jais.