SKUAD sepak takraw negara melangkah ke final regu berpasukan, namun bagi ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, pemainnya belum cukup garang.

Meskipun pemainnya mengatasi Laos 2-0 pada separuh akhir di Gimnasium JSC, Ahmad Jais dapat rasakan bahawa pemain bagai kurang ‘bernafsu’.

“Berdasarkan perlawanan tadi, bagi saya secara peribadinya, regu kita perlu beraksi lebih garang, perlu lebih banyak variasi serangan menerusi tekong dan juga rejaman perlu lebih padu.

“Selain itu, kita harus perkemas lagi pertahanan. Jadi kita harapkan pemain dapat meningkatkan lagi prestasi masing-masing menjelang aksi final lusa (Jumaat),” kata Ahmad Jais.

Pada pertarungan itu, regu pertama Laos jelas bukan tandingan regu pertama negara dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang berjaya menoktahkan kemenangan 17-21, 19-21 dalam tempoh 53 minit.

Rentak sama diteruskan regu kedua dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang menundukkan gandingan Phoumisin Adong, Sombatphouthone Yothin dan Chanthahieng Soukkaserm 14-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.

Kemenangan bersih itu menyaksikan regu ketiga yang menampilkan Muhamad Zarif Marican, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar, Muhammad Zaim Razali tidak perlu turun beraksi bagi aksi ketiga sekali gus boleh berehat sebelum aksi final nanti.

Kejayaan mara ke final ini secara tidak langsung menyaksikan skuad takraw negara bakal menggenggam sekurang-kurangnya pingat perak untuk kontinjen negara bagi temasya kali ini.

Terdahulu, Thailand yang juga juara bertahan acara terbabit mengesahkan slot ke final selepas menundukkan Korea Selatan 2-0 pada aksi sebelah pagi dan final akan berlangsung di venue sama, Jumaat ini.