TANPA diletakkan harapan, Bunga Raya 7’s meraih keputusan mengejutkan di Bangkok, Thailand, apabila memenangi pingat gangsa pada pusingan kedua Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah (ARRS2) pada Ahad.

Skuad kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man itu berjaya mengatasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan kemenangan 21-15 pada penentuan tempat ketiga, sekali gus mencipta keputusan mengejutkan terutamanya selepas skuad lelaki kebangsaan menjadi belasahan pasukan sama, di pusingan pertama Ogos lalu.

“Melihatkan pencapaian ini, memang mengejutkan kerana prestasi pemain luar biasa.

“Kita ke kejohanan ini dengan status kecederaan tinggi, selepas main dua perlawanan kumpulan, bertambah lagi kecederaan, jadi prestasi dipamerkan dengan usaha tinggi, amat menakjubkan.

“Pemain sanggup bermain tanpa mempedulikan kecederaan, kesakitan dan mengorbankan badan sendiri demi negara,” kata Nik Ismade.

Menurut beliau, doktor perubatan pasukan memberi saranan agar tidak menurunkan pemain yang mengalami kecederaan, namun pemain berkeras mahu meneruskan.

“Saya jadi amat terharu dengan kesungguhan mereka mahu bermain dalam keadaan sakit,” tambahnya.

Kejohanan berlangsung selama dua hari, pada Sabtu dan Ahad itu, menyaksikan Bunga Raya 7’s diletakkan dalam kumpulan B bersama Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Bunga Raya 7’s membuka tirai saingan dengan kekalahan 5-43 kepada Hong Kong, sebelum bangkit menewaskan Korea Selatan 21-17, dan mengatasi Singaopura 29-21, untuk menghuni tangga kedua kumpulan di belakang Hong Kong.

Skuad negara mara ke separuh akhir bertemu juara kumpulan A, Jepun, namun tewas 10-24 dan beraksi pada penentuan gangsa menentang UAE semalam.

Pencapaian skuad negara itu melakar sejarah, apabila kali pertama mara ke separuh akhir berstatus AR7s.

Melihatkan kemajuan yang ditampilkan, skuad ini memerlukan lebih banyak kejohanan, namun Nik Ismade berkata, belum ada perancangan buat pasukan dan Kesatuan Ragbi Malaysia (MR) perlu menghadiri mesyuarat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) November nanti.