PASUKAN bola sepak wanita Selangor FC telah melakukan persiapan awal untuk menghadapi musim baharu kejohanan wanita dengan telah memulakan latihan pramusim sejak 8 Januari selepas selesai sesi pemilihan pada penghujung bulan Disember 2023.

Memasuki tahun ketiga penubuhan, skuad wanita Selangor FC dilihat semakin menuju sasaran untuk menjadi sebuah pasukan profesional, sesuatu yang telah dirancang sejak dari tahun 2022.

Matlamat utama skuad pada musim ini adalah lebih tertumpu untuk memperkenalkan dan memperkasakan asas pembangunan selain sesi latihan akan dijalankan secara konsisten dengan bantuan barisan jurulatih yang berkaliber penggunaan fasiliti di SFC Training Centre, Shah Alam.

Bagi mencapai sasaran itu, penekanan kepada kontrak pemain dan struktur gaji mula diperkenalkan selain penjenamaan dan pemasaran turut dilaksanakan bagi membawa masuk penaja.

Selain itu, pendekatan latihan moden dan perancangan berasaskan sains sukan juga telah diterapkan sama seperti pasukan-pasukan lain di kem Gergasi Merah bagi menyerlahkan lagi potensi sebenar setiap pemain.

Skuad Wanita Selangor FC melalui kerjasama bersama Selangor FA akan bertanding dalam kejohanan FAS Women’s Super League 2024 yang akan bermula pada 3 Februari bagi menambah jumlah perlawanan selain bersaing di Liga Wanita Nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memandang serius akan perkembangan skuad Wanita Gergasi Merah dan berharap segala inisiatif yang dilakukan akan memberikan nilai tambahan buat bola sepak wanita negara

“Program jangka masa panjang bagi skuad Wanita Selangor FC ini jelas dijalankan secara berperingkat. Ini adalah tahun ketiga daripada lima tahun program pembangunan skuad Wanita Gergasi Merah dijalankan.

“Dari musim ke musim, pihak pengurusan telah memperkenalkan struktur baharu kepada pasukan wanita seperti peraturan yang digunakan, jadual latihan harian, penggunaan fasiliti secara luas, program khas individu dan pasukan serta struktur gaji bertingkat dilaksanakan.

“Pemain-pemain wanita secara keseluruhan telah mendapat layanan serta kelebihan sama seperti skuad utama Gergasi Merah dengan cara berperingkat dan berharap dengan cara ini, kita dapat membantu pasukan serta Liga Wanita Malaysia untuk lebih berkembang dengan pesat seperti di luar negara,” katanya.

Selangor turut berjaya membawa masuk bekas jurulatih B-19 kebangsaan, Osmera Omaro selain pemain kebangsaan, Eva Oliviani dan ramai lagi pemain-pemain muda berbakat yang dapat diketengahkan untuk memeriahkan lagi saingan bola sepak wanita negara.