SKUAD wushu negara cemerlang di negara Uncle Sam, apabila berjaya meraih satu emas, tiga perak dan dua gangsa, setakat empat hari Kejohanan Wushu Dunia 2023.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS) bermula 16 hingga 20 November itu menyaksikan atlet paling berpengalaman, Wong Weng Son mengabaikan selesema yang dialami, apabila meraih emas dalam acara changquan lelaki.

Lebih manis, seorang lagi atlet negara dalam acara itu, meraih pingat gangsa iaitu Clement Ting, selepas mencatatkan 9.800 mata, kurang 0.003 mata di belakang pemenang pingat perak dari Indonesia, manakala Weng Son, 9.826 mata.

Wong Weng Son dan Clement Ting raih emas dan gangsa Changquan lelaki di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Texas, AS.

Jurulatih wushu kebangsaan, Koo Chee Zhong berkata, beberapa atlet negara termasuk Weng Son, mengalami selesema sejak tiba di AS.

“Weng Son juga tidak sihat tetapi berjaya mengekalkan momentum dan cemerlang dalam rutinnya, biarpun dia atlet kedua terakhir daripada 80 atlet, turun ke gelanggang.

“Tekanan tinggi termasuk beraksi dalam keadaan tidak sihat, berjaya ditangani dengan baik,” kata Chee Zhong.

Sydney Chin sumbang pingat perak acara taijijian wanita.

Sementara itu, tiga pingat perak disumbangkan Loh Ying Ting dalam acara changquan wanita, Clement Ting (daoshu lelaki) dan Sydney Chin (Taijijian wanita).

Bekas juara dunia nandao wnaita 2019, Tan Cheong Min bagaimanapun sekadar meraih gangsa dalam acara nangun wanita, tewas kepada atlet Vietnam (emas) dan Hong Kong (perak).

Loh Ying Ting meraih pingat perak acara changquan wanita.

“Cheong Min mengalami selesema sejak 16 November lagi dan tidak dapat mengawal kondisi diri dengan pada hari pertama kejohanan, namun dia berjaya bangkit dan memenangi gangsa hari ini.

“Jadi, sepanjang dua hari ini (18 & 19 November), saya rumnuskan atlet kita beraksi dengan cemerlang.

“Saya berpuas hati dengan prestasi mereka dan bangga dengan pingat yang mereka menangi,” katanya.

Clement Ting turut cemerlang dalam acara daoshu lelaki, apabila meraih pingat perak.

Tan Cheong Min mengalami selesema teruk sejak hari pertama tiba di AS, namun mampu meraih pingat gangsa.

Chee Zhong berkata, atlet negara masih bersaing dalam 10 acara sehingga esok, dan peluang untuk menambah pingat masih ada.

Ketika ini, skuad wushu negara berada di kedudukan ketiga senarai kutipan pingat, dengan satu emas, tiga perak dan dua gangsa (6 keseluruhan), di belakang Macau yang berada di kedudukan kedua (2 emas, 1 perak) dan pendahulu China (4 emas).