PASUKAN skuasy wanita memperbaiki pencapaian di Jakarta-Palembang lima tahun lalu, apabila merangkul pingat emas ketiga buat kontinjen negara di Sukan Asia ke-19, di Hangzhou.
Selaku pilihan utama, barisan terbaik negara diturunkan iaitu Aifa Azman, S Sivasangari dan Rachel Arnold, mempamerkan aksi bertenaga ketika berdepan pilihan kedua, Hong Kong di Pusat Olimpik Hangzhou.\
Rachel yang diturunkan selaku perseorangan pertama bertarung lima set, namun gagal mendapatkan mata pertama ketika berdepan Tong Tsz Wing.
Pemain negaraitu tewas 11-7, 7-11, 11-8, 8-11, 6-11 dalam masa 57 minit.
Selepas itu, Sivasangari menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 11-5, 11-8, 11-6, menewaskan Ho Tze Lok.
Aifa yang turun dengan misi besar, memastikan kemenangan dengan menewaskan Chan Sin Yuk 11-5, 11-8, 11-13, 11-8.
Pingat emas diraih kali ini cukup bermakna, apabila berjaya menebus maruah selepas skuad 2018 yang dibarisi Datuk Nicol David, Low Wee Wern, Sivasangari dan Aifaa sekadar meraih gangsa.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam hantaran di platform X mengucapkan tahniah kepada pasukan skuasy kebangsaan yang memenangi pingat emas.
“Pasukan skuasy wanita baru sahaja mendapat pingat emas untuk Malaysia dalam Sukan Asia! Syabas. #DemiMalaysia ,” ciap hantaran berkenaan.
Women squash team just delivered a gold for Malaysia in Asian Games! Well done girls #DemiMalaysia pic.twitter.com/4UxDErocDe
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) September 30, 2023