PEMAIN perseorangan skuasy negara, Ng Eain Yow muncul juara acara perseorangan lelaki Kejuaraan Skuasy Individu Asia 2023 selepas menewaskan pemain dari India, V. Senthilkumar pada aksi final di Hong Kong.

Eain Yow meraih kemenangan straight set ke atas Senthilkumar 11-4, 11-5 dan 11-6 dalam aksi final itu yang mengambil masa 34 minit sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu di Islamabad, Pakistan.

Hajat Malaysia untuk bergelar juara berganda terhalang apabila pemain perseorangan wanita, S. Sivasangari tewas dalam aksi final kepada pemain tuan rumah, Chan Sin Yuk dalam lima set 6-11,11-9,12-14, 11-3 dan 11-1 dalam 40 minit.

Penolong jurulatih negara, Andrew Cross berkata Sivasangari bermain baik dan ianya baik untuknya kerana menunjukkan persembahan yang positif sepanjang minggu ini manakala Eain Yow pula menunjukkan kualiti terbaik dan berhak untuk muncul juara.

“Sangari bermain baik dengan persembahan yang positit begitu juga Yow yang bermain sangat baik minggu ini. Kualitinya minggu ini baik dan pemain tahu siapa yang datang kesini perlu bermain baik dan dia buktikan.

“Kejohanan selepas ini di Sukan Asia akan lebih berlainan dan dia akan kembali dan bekerja keras bermula minggu hadapan,” katanya.

Pingat naib juara yang dimenangi Sivasangari itu bermaksud dia tidak dapat menamatkan kemarau lapan tahun Malaysia pada Kejohanan Skuasy Individu Asia yang kali terakhir dimenangi Datuk Nicol David pada 2015.

ARTIKEL BERKAITAN : Skuasy Individu Asia : Nicol letak harapan Sivasangari tamatkan kemarau 8 tahun Malaysia