FOTO KREDIT : Hong Kong Squash
LEGENDA skuasy Datuk Nicol Ann David berharap pemain wanita negara S Sivasangari dapat menamatkan kemarau lapan tahun Malaysia pada Kejohanan Skuasy Individu Asia yang sedang berlangsung di Hong Kong.
Juara wanita dunia lapan kali itu berkata, skuad negara yang dihantar ke kejohanan lima hari bermula 6 Jun lepas terdiri daripada pemain yang berpotensi menamatkan penantian lapan tahun negara.
“Kami berharap pemain dapat bermain dengan baik…pasukan (skuad kebangsaan) adalah pasukan yang kuat..mereka bermain dengan sangat baik.
“Setakat ini, prestasi mereka baik…mereka juga memberikan (keputusan) yang baik dan menepati ranking mereka.
“(Selepas ini) mereka perlu pergi ke banyak pertandingan supaya mereka tidak pergi lebih rendah daripada peringkat kelayakan mereka,” ujarnya.
Semalam, Sivasangari dan Ng Eain Yow masing-masing menempah tiket ke pentas final.
Pada aksi separuh akhir pemain Sivasangari yang turun beraksi terlebih dahulu, mengejutkan pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Satomi Watanabe 11-9, 14-12, 11-8 dalam tempoh 36 minit.
“Saya memang menjangkakan perlawanan yang sukar kerana saya sudah lama tidak menentangnya mungkin kali terakhir pada 2018.
“Watanabe telah bermain dengan sangat baik di gelanggang profesional walaupun saya tidak akan menyertai perlawanan dengan minda kekalahan.
“Tetapi saya sangat gembira kerana bermain dengan baik hari ini. Apabila saya bermain lebih banyak perlawanan, saya boleh menjadi lebih baik dan hampir 100 peratus,” katanya selepas perlawanan.
ARTIKEL BERKAITAN : Nicol David Organisation (NDO) jejak pelapis muda sertai sukan skuasy
Kali terakhir pemain wanita negara memenangi kejuaraan dua kali dalam setahun ialah pada 2015 menerusi Nicol, yang kemudiannya memegang gelaran sembilan kali pada 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2011 dan 2015.
Eain Yow turut berpeluang mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan wakil tuan rumah, Henry Leung 11-5, 11-8, 12-10 dalam masa 43 minit.
Eain Yow berpeluang mempertahankan gelaran yang dimenanginya dua tahun lalu di Islamabad apabila bakal bertemu pemain India, V Senthilkumar pada aksi final.