TRIO muda skuasy negara, Aira Azman, Noor Ainaa Ampandi dan Yasshmita Jadishkumar mencipta memori manis untuk dikenang apabila menempah tiket ke Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat, Mei depan.

Ini berikutan pencapaian cemerlang mereka pada pusingan kelayakan Kejohanan Dunia yang baru berakhir di Birmingham, England.

Meskipun trio wanita muda negara mara dan akan menyertai tiga pemain senior, S Sivasangari, Rachel Arnold dan Aifa Azman, namun hanya seorang pemain lelaki melepasi pusingan kelayakan iaitu pemain veteran, Ivan Yuen yang akan menemani Ng Eaih Yow di Chicago nanti.

Yasshmita (kanan) mengejutkan rakan senegara, Chan Yiwen (kiri) apabila mencuri satu slot kelayakan ke Kejohanan Dunia. /Pix Squashsite

Pencapaian pemain di pusingan kelayakan itu sekali gus menempa sejarah, apabila kali pertama lapan pemain berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia.

Paling menonjol, pemain termuda Yasshmita, 18, apabila mengatasi rakan senegara yang jauh lebih berpengalaman, Chan Yiwen pada final dengan keputusan 8-11, 7-11, 11-8, 11-9, 11-6.

Sementara itu, Ainaa, 21, berada pada prestasi terbaik apabila meraih dua gelaran berturut-turut dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), menjadi atlet negara pertama berjaya layak selepas menang 6-11, 11-5, 11-9, 11-6 mengatasi pemain Jerman, Katerina Tycova dalam aksi final di Birmingham.

Ainaa (kiri) turut menempah tiket ke Kejohanan Dunia selepas mengatasi pemain Jerman, Katerina Tycova 6-11, 11-5, 11-9, 11-6. /Pix Squashsite

“Ia satu perasaan yang luar biasa kerana saya datang ke sini tanpa sebarang tekanan selepas mengetahui bahawa saya perlu menentang salah seorang pemain pilihan.

“Ini kali pertama saya bertanding di pusingan kelayakan dan ia satu yang hebat apabila berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia buat kali pertama,” katanya.

Mengikuti jejak Ainaa dan Yasshmita adalah pemain di ranking ke-67 dunia, Aira yang menepati ramalan untuk menempah satu lagi tiket ke Kejohanan Dunia.

Aira (kiri) cemerlang menewaskan pemain Mesir, Menna Hamed 11-8, 11-6, 11-4 . /Pix Squashsite

Aira yang menjadi pilihan ketiga pada acara kelayakan, menewaskan pemain Australia, Alex Haydon 11-6, 11-3, 11-8 pada separuh akhir sebelum mengatasi pemain Mesir, Menna Hamed 11-8, 11-6, 11-4 dalam perlawanan akhir.

Kejohanan Dunia bakal diadakan di Chicago dari 3 Mei hingga 11 Mei menganjurkan kejohanan kelayakan menawarkan 12 tempat – masing-masing enam untuk lelaki dan wanita.

Kemaraan tiga pemain wanita muda negara itu membolehkan mereka menyertai pemain senior yang sudah pun mengesahkan tempat berdasarkan ranking dunia, pemain Sivasangari  (23), Rachel (25) dan Aifa (26).

Pemain (kiri) berpengalaman negara, Ivan Yuen turut layak ke Kejohanan Dunia. /Pix Squashsite

Manakala dalam acara lelaki Ivan Yuen mengatasi pemain remaja England, Finnlay Withington 13-11, 11-4, 14-12, di final sebelum menempah tiket ke Kejohanan Dunia dan akan menyertai rakan senegara yang juga pemain ke-21 dunia Ng Eain Yow dalam undian utama di AS nanti.

Terdahulu, dalam aksi Terbuka British, Sivasangari dan Aifa kandas di pusingan kedua.

Sivasangari yang kembali beraksi di pentas PSA selepas kecederaan akibat kemalangan kenderaan, tewas kepada pemain ranking kelapan dunia, Sarah-Jane Perry dari England, 9-11, 9-11, 11-4, 8-11.

Manakala Aifa pula ditundukkan pilihan ke sembilan/16 dari Mesir, Salma Hany 8-11, 11-4, 9-11, 4-11.

Rachel dan Eain Yow pula kalah kepada pemain wildcard.