KEJOHANAN Skuasy Remaja Antarabangsa REDtone KL 2023 akan kembali membuka tirainya sebagai kejohanan terbesar skuasy remaja di Asia yang berlangsung pada 5 hingga 10 Disember 2023.
Edisi ke-15 kejohanan ini menyaksikan penyertaan terbanyak iaitu mencecah sehingga 900 peserta daripada 21 buah negara yang akan bertanding dalam pentas skuasy remaja kedua terbesar di dunia.
Indonesia, Korea Selatan, China dan Japan antara negara yang dikatakan hebat dalam sukan raket dan perkara itu diakui oleh Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL), Steven Kwan yang menyatakan mereka juga percaya bahawa negara lain mempunyai kekuatan tersendiri.
“Malaysia juga semakin ke depan dalam sukan skuasy dan di sinilah tempat terbaik untuk dijadikan sebagai batu loncatan bagi pemain muda yang ingin meneruskan karier dalam bidang skuasy.
“Dan menariknya untuk dikongsikan, apabila di luar negara mereka akan bertanya tentang Redtone Skuasy dan bukan Kuala Lumpur Skuasy jadi itu merupakan satu titik bermakna yang dapat melihatkan betapa pentingnya kejohanan ini,” ujarnya dalam sesi sidang media.
Jelas juga, beberapa atlet muda skuasy seperti Ng Eain Yow, Rachel Arnold dan S.Sivasangari yang terlibat dalam kejohanan ini dapat memanfaatkan perlawanan sebagai satu platform penting untuk ke sukan Olimpik 2028.
Dalam masa yang sama, perkara ini akan menarik minat dan kesedaran para pemain muda lain supaya melakukan aksi terbaik agar membuka ruang untuk jadi pelapis skuasy negara suatu hari nanti sejurus layak ke pentas Olimpik yang akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon meluahkan kegembiraan atas peluang yang diberikan oleh SRAFTKL untuk menjadi penaja utama secara berterusan dalam kejohanan berprestij itu.
“Saya amat teruja dengan penajaan kali ke-10 ini dan saya sebagai saksi telah melihat sendiri kemajuan dan perkembangan yang terhasil dalam kejohanan ini. Daripada jumlah penyertaan yang sedikit sehingga kini menjadi satu kejohanan terbesar di Asia.
“Anak muda menjadi keutamaan dalam kejohanan ini bagi mencungkil lagi banyak bakat besar dalam dunia skuasy di Malaysia,” katanya.
Tambahan, lokasi kejohanan kali ini mempunyai sedikit perubahan kerana tidak diadakan di Gelanggang Skuasy Bukit Jalil, namun tiga lokasi utama adalah di Gelanggang Skuasy Jalan Duta, Sky Arena di Air Panas Setapak dan seterusnya di Astaka Skuasy Petaling Jaya.