MALAYSIA menutup tirai saingan Kejohanan Skuasy Remaja Individu Asia 2023 dengan merangkul lima daripada lapan kejuaraan.

Paling sensasi kejayaan puteri skuasy negara, Aira Azman yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Kejohanan Skuasy Remaja  Dunia Julai lalu.

Bagaimanapun kejayaan Aira tidak hadir dengan mudah apabila diberikan tentangan sengit rakan senegara, K Sehveetrraa sebelum pemain itu bangkit mencatat kemenangan 9-11, 11-6, 11-8, 11-1, untuk muncul juara perempuan bawah 19 (B-19) tahun.

Joachim Chuah yang bersaing dalam kategori B-19 tahun lelaki menebus kekecewaan tahun lalu apabila menewaskan rakan senegara, Harith Danial Jefri dengan keputusan 11-9, 7-11, 10-13, 11-6, 13-11.

Dalam aksi lelaki B-17 tahun, Low Wa Sern berjaya mengatasi tentangan sengit pemain Korea Selatan, Na Joo Young, apabila menang dengan keputusan 11-6, 11-9, 5-11, 13-11.

Kemenangan itu turut menebus kekecewaan Wa Sern pada edisi lalu di Na Chom Thian, Thailand ketika tewas kepada Joo Young di final.

Jayden Oon yang beraksi dalam kategori lelaki B-15 tahun turut beraksi cemerlang apabila menewaskan pemain Jepun, Shunsaku Kariyazono dengan keputusan 4-11, 11-4, 11-5, 11-5.

Pertemuan sesama Malaysia dalam kategori perempuan B-13 tahun menyaksikan Jinoreeka Ning Manivannan mengatasi rakan sepasukan, Niea Chew selepas menang dengan keputusan 11-6, 9-11, 11-6, 16-14.

“Saya sangat-sangat berpuas hati dengan kesemua pemain, termasuk yang tewas pada pusingan sebelum ini.

“Ramai pemain luar negara memuji pemain kita yang bermain dengan penuh semangat tanpa mudah mengalah. Walaupun mereka hampir kalah, tetapi pemain kita tetap bermain bermati-matian sehingga mata terakhir. Bagi saya masa depan pemain negara kita di landasan yang tepat,” jelas jurulatih skuasy negara, Shahril Shahidan.