KETIKA peluang baik untuk pemain skuasy wanita negara melakukan kejutan di Terbuka Australia minggu hadapan, pemain lelaki digesa melepasi pusingan pertama kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan AS$52,500 (RM246,986) itu.

Jurulatih kebangsaan, Andrew Cross berkata, berdasarkan ranking rendah tiga pemain lelaki negara yang akan beraksi pada kejohanan itu, sememangnya sukar namun beliau menuntut barisan pemain yang terdiri daripada Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, Mohamad Syafiq Kamal dan Sanjay Jeeva mempamerkan prestasi terbaik masing-masing.

Addeen Idrakie (kanan) menjalani latihan bersama Syafiq Kamal, di Pusat Skuasy Jalan Duta.

“Untuk pemain lelaki kita, agak sukar di sana meskipun tidak dihadiri pemain terbaik dunia tetapi ini menjadi pengalaman yang baik buat mereka.

“Saya harap Syafiq, Sanjay dan Addeen melepasi pusingan pertama dan memberi tekanan kepada pemain lawan pada pusingan kedua,” kata Cross, ditemui pada sesi latihan skuad negara di Pusat Skuasy, Kompleks Sukan Negara Jalan Duta, malam tadi.

Aira Azman menjalani latihan bersama pemain pelapis lelaki, dalam usaha mempelbagai cabaran dalam latihan.

Berdasarkan undian, Jeeva yang berada di ranking ke-80 dunia, akan berdepan lawan agak seimbang, Toufik Mekhalfi (76) dari Perancis, Addeen (65) berdepan pemain Hong Kong, Wong Chi Him (103) dan Syafiq (104) menentang seorang lagi pemain Hong Kong, Tang Ming Hong (89).

“Bagi pemain wanita, agak menarik terutamanya pertemuan dua beradik, Aifa dan Aira Azman buat kali pertama di pentas antarabangsa dan pemenang pusingan kedua itu akan bertemu pilihan utama kejohanan,” kata Cross.

Andrew Cross berpuas hati dengan pencapaian pemain wanita dalam dua bulan pertama tahun ini.

Aifa diletakkan selaku pilihan keenam, mendapat bye di pusingan pertama menanti pemenang antara Aira menentang pemain Singapura, Wai Yhan Au Yeong.

Rachel Arnold turut diletakkan selaku pilihan ketiga, menanti pemenang antara pemain negara Yasshmita Jagdish Kumar dan Cheng Nga Ching  dari Hong Kong.

S Sivasangari turut menjalani latihan di Pusat Skuasy Jalan Duta, dalam persiapannya ke kejohanan London Classic, hujung bulan ini.

Seorang lagi pemain wanita negara, Chan Yiwen dijangka tiada masalah mengatasi pemain tuan rumah, Erin Classen.

Terbuka Australia akan berlangsung 20 hingga 24 Mac ini dan pemain negara akan bertolak ke negara terbabit esok.

Sementara itu, S Sivasangari pula sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan London Classic hujung bulan ini (27 Mac hingga 1 April).