HAJAT tak kesampaian. Perseorangan elaki nombor satu negara Ng Eain Yow gagal membalas dendam kekalahan di Terbuka Singapura minggu lalu, apabila tewas lagi kepada Joel Makin dari Wales di Terbuka Malaysia hari ini.

Begitupun aksi pusingan kedua hari ni sangat sengit, terutamanya apabila mendahului 2-1, tewas set pertama 6-11, dan menang set kedua dan ketiga 11-6, 11-8.

Ketika pemain negara mula menghidu kemenangan, makin yang juga pilihan kedua kejohanan mempamerkan kualiti pemain berkelas dunia, bangkit memenangi dua set berikutnya 11-9, 11-5 dan menamatkan permainan dalam masa 69 minit.

Ng Eain Yow melepaskan pukulan cuba mengelirukan Joel Makin.

“Saya rasa banyak peluang disia-siakan pada set keempat, ketika saya mendahului, mungkin masih kurang pengalaman. Pada masa akan datang, saya perlu lebih bijak,” kata Eain Yow.

Sementara itu, pemain wanita utama negara, Aifa Azman terus membuktikan kemampuannya di Terbuka Malaysia apabila berjaya menempah slot ke suku akhir selepas mencatat kemenangan pada pusingan kedua.

Aifa Azman berusaha keras membalas pukulan Ainaa Amani Ampandi, dalm usaha mempertahan gelaran Terbuka Malaysia dimenangi tahun lalu.

Aifa yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan tidak berhadapan masalah mengatasi rakan senegara Ainaa Amani Ampandi 11-6, 11-4, 11-8 dalam tempoh 21 minit.

Namun, lawan Aifa di peringkat suku akhir esok bukan lawan mudah apabila dia dijadual berdepan pilihan kedua kejohanan dari Belgium Nele Gilis.

Nele yang berada di ranking ke 12 dunia sebelum itu mengambil masa 33 minit untuk menumpaskan wakil dari Mesir Fayrouz Aboelkheir 11-4, 11-8, 11-6.

Sementara itu, Aifa berkata, walaupun beraksi menentang rakan senegara namun ia bukan perlawanan yang mudah kerana Ainaa memberi saingan dalam usaha menyekat peluangnya ke pusingan seterusnya.

“Saya hanya fokus untuk memenangi perlawanan dan berikan terbaik dalam usaha untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

“Walaupun sering menyertai kejohanan tapi tetap ada perasaan gemuruh. Apa yang penting adalah bersedia untuk beraksi baik pada peringkat suku akhir,” katanya.

Selain Aifa, seorang lagi wakil negara Rachel Arnold turut menempah tiket ke suku akhir apabila berjaya mengatasi lawannya dari England Grace Gear  10-12, 12-10, 11-7, 11-9.