HASRAT Rachel Arnold merampas semula gelaran Terbuka Malaysia yang dimenanginya pada 2019, tidak kesampaian selepas tunduk kepada pilihan utama kejohanan, Nele Gilis, di separuh akhir pada Jumaat.
Meskipun tewas, Rachel tidak mudah mengalah apabila mengheret pemain Belgium itu bermain sehingga lima set dalam tempoh 63 minit.
Menyedari bukan tugas mudah untuk menunjukkan Nele, Rachel mempamerkan aksi kental pada set pertama, menang 12-10, sebelum tewas 0-11 kepada Nele di set kedua.
Aksi kemas Nele pada set ketiga, menghalang pemain negara untuk melakukan kebangkitan sebelum tewas 9-11, namun Rachel merampas set keempat dengan kemenangan 11-7.
Dalam set penentuan, Rachel berjuang berhabis-habisan namun tuah tidak menyebelahinya, tewas 6-11 sekali gus mengakhiri cabaran pemain negara di Terbuka Malaysia kali ini.
Perlawanan separuh akhir hari ini turut disaksikan juara lapan kali, Datuk Nicol David itu.
“Berdasarkan aksi hari ini, saya rasa banyak peningkatan dalam permainan saya,” kata Rachel, berpuas hati dengan permainannya meskipun terpaksa akur, gagal ke final esok.
Tahun lalu, pemain nombor satu negara, Aifa Azman muncul juara Terbuka Malaysia, namun tersingkir di suku akhir, juga tewas kepada Nele.