SUKAN skuasy menjadi sandaran untuk atlet wanita negara, kembali menyumbang pingat di Sukan Olimpik Los Angeles.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selepas Temasya Rio 2016, harapan untuk melihat atlet wanita negara meraih pingat di Sukan Olimpik tidak kesampaian selepas hanya atlet lelaki menjadi penyumbang pingat di Temasya Tokyo 2020 dan Paris 2024.
“Apabila saya melihat senarai pemenang pingat Malaysia dari Sukan Olimpik Paris dan Paralimpik Paris, saya tidak dapat mencari seorang wanita pun dalam senarai itu,” kata Hannah, selepas merasmikan pelancaran Piala Skuasy ACE Malaysia di sebuah hotel di Petaling Jaya.
“Pada LA2028 kami bukan sahaja mencari pingat emas, saya juga mahu melihat seorang gadis bangkit dan berada di podium.
“Skuasy adalah salah satu sukan yang jarang berlaku di Malaysia apabila lebih ramai atlet wanita yang berada dalam kedudukan 100 teratas dunia berbanding lelaki.
“Kami juga telah merekrut legenda skuasy Datuk Nicol David untuk membantu kami mencapai matlamat ini. Dia kini berada dalam lembaga pengarah di Institut Sukan Negara (ISN),” ujarnya.
Skuasy akan membuat penampilan sulung Olimpik di Los Angeles 2028 dan Hannah yakin pemain wanita negara, mempunyai kemampuan untuk menamatkan kemarau pingat.
Penerjun Cheong Jun Hoon-Pandelela Rinong memenangi perak untuk Malaysia dalam acara 10m platform seirama wanita manakala Goh Liu Ying yang berpasangan dengan Chan Peng Soon, turut meraih perak dalam acara badminton beregu campuran di Rio 2016.
Bagaimanapun tiada atlet wanita negara yang menamatkan saingan di podium pada Temasya Tokyo 2020 mahupun Paris yang baru berakhir.
“Apabila kami mendengar bahawa skuasy akan dimasukkan ke LA2028 tahun lepas, kami segera memulakan persiapan.
“Ini penting jika kami ingin memenangi pingat kerana China juga telah mula menyediakan pemain mereka untuk LA2028,” katanya.