SEKOLAH Menengah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam melakar kemenangan sulung dalam aksi pertama saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2024 dengan kerjasama 100PLUS selepas menundukkan SMK Seri Kota 2-0 pada Sabtu.
Melayan kunjungan SMK Seri Kota dari Melaka, anak didik Mohd Faiz Mohd Azlan tidak menunggu lama untuk membuka tirai gol menerusi penyudah Muhd Naufal Najmi Arbain di minit kelima sekali gus menyentap usaha awal pelawat yang sedang menyusun atur pergerakan.
Perlawanan sulung nyata memberi sedikit kesukaran untuk kedua dua pasukan menggegar gawang lawan masing masing susulan penyudah tumpul.
Satu gol nyata masih belum mencukupi buat SMK Seksyen 11 apabila Mohd Faiz membuat pertukaran pemain dengan masukkan tiga pemain untuk mengukuhkan barisan serangan.
Percaturan itu nyata membuahkan hasil apabila pemain gantian, Caliph Rayyan Khairul Fazli meledak gol kedua untuk tuan rumah selesa mendahului 2-0.
Pelawat bagaimanapun berjaya menemui sentuhan penyudah dipenhujung permainan apabila peluang terhidang dimanfaatkan Muhd Faris Iskandar Mohd Saifudin di masa tambahan selepas tamat masa sebenar 70 minit permainan untuk merapatkan jurang 1-2.
Jaringan tersebut bagaimanapun sudah terlambat untuk memastikan tiga mata pertama menjadi milik tuan rumah.
Dalam pada itu, turut berlangsung aksi melibatkan SMK Seksyen 11 menentang SMK Seri Kota bagi kategori Bawah 17 tahun yang menyaksikan kedua dua pasukan pulang dengan satu mata selepas terikat tanpa jaringan.