KANDANG rasmi Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan dibuka kepada penganjuran hari sukan sekolah secara percuma bermula Oktober depan.

Inisiatif terbaharu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu, diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bersempena ulang tahun ke-25, Kuala Lumpur Sports City (KLSC) pada majlis sambutan yang berlangsung di lobi utama SNBJ.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh melawat fasiliti di SNBJ, pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 KL Sports City malam tadi. -Pix KBS

“Sempena ulang tahun ke-25 KLSC, PSM memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah untuk menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun, khusus penganjuran hari sukan.

“Pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM ini telah dipersetujui oleh Mesyuarat Anggota PSM pada 17 Julai dengan pemberian secara percuma untuk kegunaan sambutan hari sukan sekolah tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan fasiliti.

“Ia juga selaras pengumuman sebelum ini bahawa kita nak fokus olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah. Saya benar-benar mahu murid sekolah merasai pengalaman berlari 100 meter (m) di SNBJ kerana mungkin dapat memberi inspirasi untuk menjadi atlet,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu sekolah memanfaatkan tawaran penggunaan SNBJ secara percuma.

Turut hadir Pengerusi PSM Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi.

Tawaran itu tidak terhad kepada SNBJ sahaja malah Hannah memberitahu, PSM turut menawarkan penggunaan dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah secara percuma.

Sehubungan itu, beliau menjemput pihak sekolah untuk membuat tempahan kepada PSM yang dijadual dibuka bermula bulan depan.

Hannah turut menyeru syarikat pengeluar makanan berkhasiat terlibat sama sekiranya ada hari sukan sekolah dianjurkan di tiga venue tersebut.

“Sebelum ini sekolah perlu bayar (kos sewa) dengan kadar diskaun jika mahu gunakan stadium, jadi saya jemput syarikat makanan berkhasiat kanak-kanak untuk mula bincang dengan PSM mengenai advertising rates, at least boleh cover kos (tawaran percuma pengunaan venue),” katanya.