PUSINGAN akhir Liga Wanita Nasional 2024 bakal mencatat sejarah apabila buat pertama kali diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 21 Disember ini. Lebih bermakna, skuad bola sepak wanita kebangsaan juga akan diberi peluang untuk beraksi di padang berprestij itu, setanding dengan pasukan Harimau Malaya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengumumkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memastikan skuad bola sepak wanita kebangsaan dapat menjalani sesi latihan di SNBJ, langkah yang dilihat mampu merapatkan jurang antara pasukan lelaki dan wanita yang selama ini menjadi perhatian.
“Mulai tahun ini, Liga Wanita Nasional akan diadakan di SNBJ setiap tahun. Dengan peluang ini, saya percaya ia mampu meningkatkan semangat juang pemain wanita negara serta memberi mereka pengalaman yang setara dengan pasukan lelaki kebangsaan,” katanya.
KBS berharap usaha ini bukan sahaja menyuntik semangat baharu kepada skuad wanita, malah memberi mesej jelas bahawa sukan wanita kini diberi perhatian serius. Langkah ini juga dijangka menarik lebih ramai penyokong untuk hadir memberi sokongan kepada skuad wanita kebangsaan di stadium yang mampu menampung ribuan penonton itu.
Langkah proaktif ini dilihat sebagai satu lagi usaha KBS untuk menyamaratakan peluang dalam arena bola sepak negara, di bawah slogan “Kita Semua Team MAS.”