KEJAYAAN pemain snuker negara, Mohd Reza Hassan merangkul gelaran Kejohanan Snuker Kebangsaan ke-32 baru-baru ini berjaya mengubah persepsi rakyat negara ini bahawa semua kaum boleh berjaya dalam apa jua jenis sukan.

Pada perlawanan final yang berlangsung di Cheras pada Selasa, atlet berusia 43 tahun itu berjaya mengetepikan cabaran Saiful Bahari pada aksi final dengan rekod kemenangan 8-0 (Best Of 15 Frame).

Jika sebelum ini, nama-nama hebat pemain negara seperti Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoo mendominasi pentas snuker, mungkin selepas ini kita boleh melihat Reza pula mencipta kegemilangan.

Malah, dalam pertandingan itu, Kok Leong dan Keen Hoo yang turut bertanding memburu kejuaraan terpaksa ‘balik awal’ selepas tewas pada Pusingan 16.

Pencapaian dilakar Reza ini juga dilihat selari dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memang menggalakkan rakyat Malaysia menyertai acara sukan dan ianya memberi impak yang sangat baik segi pembangunannya kepada negara.

Memetik Facebook Reza Hassan Snooker Academy : “Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan. Semoga Reza Hassan terus berjaya dalam arena sukan snuker dan kerjayanya.”

Di samping meraih pujian kemenangan dan membawa hadiah lumayan, penyertaan semua pihak dalam sukan boleh menarik perhatian sekaligus menggalakkan anak-anak muda turus menunjukkan kecenderungannya terhadap sukan tersebut.