PELARI menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching mengorak langkah kanan apabila menjuarai larian Qingdao Vertical Marathon pada hari pertama 2024, semalam.

Lebih menarik, Wai Ching mencipta rekod baharu lapangan pada penampilan pertamanya, memanjat tangga Hatian Center Tower 2 setinggi 331 meter (m).

Wai Ching mencipta rekod baharu lapangan dengan masa 12 minit 17 saat, mengatasi rekod lama milik Shi Ai Ai dari China, 12 minit 45 saat.

“Saya amat gembira mencipta rekod dan memenangi perlumbaan yang kali pertama saya sertai.

“Suasana di sini cukup hebat dalam cuaca sejuk dan saya berterima kasih kepada semnua penaja yang menyokong saya,” kata Wai Ching.

Seramai 500 peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan memanjat tangga 2,121 anak tangga bangunan 81 tingkat Menara Haitian Center itu.

Sepanjang tahun lalu, Wai Ching meraih 9 kejuaraan dan menutup tirai 2023 dengan dua kejuaraan pada Disember lalu, iaitu Canton Tower Vertical Marathon di China dan Malaysia Towerrunning National Championship dengan memanjat Menara MBPJ.