PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT) , Esteban Solari mengakui barisan pemainnya terpaksa berdepan tugas yang merumitkan sebelum dapat menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Solari berkata, aksi menentang skuad The Red Giants itu bukanlah satu aksi yang mudah dan ia umpama perlawanan akhir selepas beraksi dalam pentas final Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC minggu lalu di venue yang sama.
“Ada ketika memang sukar untuk membuat persiapan bagi aksi menentang Selangor dan ianya perlu kekuatan mental kerana pemain mengharungi detik mencabar pada aksi final Piala FA baru-baru tetapi pemain membuktikan sesuatu dalam perlawanan ini apabila kita menang.
“Kami mendominasi permainan seawal minit pertama sehingga berakhir perlawanan dan pasukan lawan hanya sekadar bertahan yang menyukarkan kami mencipta gol walaupun sudah merencana gerakan berbahaya memburu gol.
“Malah kami ada peluang untuk cipta gol menerusi percubaan Bergson dan kami bermain secara terbuka dengan melakukan serangan dari posisi sayap kiri dan kanan serta Heberty yang beri impak positif di posisi serangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Solari juga memberikan segala kredit kepada para pemainnya yang menunjukkan kesungguhan dalam setiap latihan dan perlawanan dan tahu cara untuk mencari jalan bagi meraih kemenangan kerana mereka tidak mahu perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
“Seperti dalam kehidupan, kami sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki pasukan dan kredit diberikan atas kesungguhan pemain. Untuk menang dengan Selangor tiga kali tanpa bolos adalah satu pencapaian yang baik dan menunjukkan karektor pemain.
“Agak sukar menembusi tembok Selangor yang dibentuk di posisi pertahanan maka kami perlu merembat bola dari luar kotak penalti selain gerakan satu dan dua antara pemain kami.
“Berpunca dari serangan berterusan dan kesabaran pemain, maka usaha untuk mendapatkan gol menemui penyelesaian dan ia penting kerana kami enggan aksi itu berkesudahan tanpa jaringan malah ia tidak adil kerana kami mendomasi perlawanan,” katanya.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami selepas tonggak tengah Leandro Velazquez terpaksa diusung keluar, Solari mengakui agak resah dengan apa yang berlaku dalam skuadnya apabila masih kehilangan Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo.
“Belum pasti lagi tahap kecederaan Leandro dan bergantung kepada pegawai perubatan pasukan manakala Fernando mungkin akan pulih dalam tempoh enam minggu dan Diogo tampak semakin pulih dan perlu sekurang-kurang dua minggu lagi,” kata solari.
Dalam perlawanan itu, JDT terpaksa menanti sehingga minit ke-78 untuk gol pertama jaringan Heberty Fernandez sebelum Bergson menyempurnakan penalti pada minit akhit permainan bagi memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan ke-18 berturut-turut dalam saingan liga dan semakin menghampiri kejuaraan.