PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari gembira dengan usaha yang ditunjukkan para pemainnya sejak dari awal musim hingga ke perlawanan terakhir untuk mencipta sejarah memenangi kejuaraan Double Quadruple dan mengekalkan rekod tanpa kalah.

Kejayaan 8-0 ke atas Penang FC dalam aksi terakhir Liga Super juga menyaksikan JDT berjaya mencipta rekod 100 jaringan dalam semusim yang pada mulanya tidak langsung disasarkan pengendali Argentina itu.

“Saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain atas usaha mereka dan bersikap profesional dari awal hingga akhir musim. Kami sudah meletakkan standard yang tinggi dengan menang empat piala.

“Pemain juga mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang tahun dan terima kasih kepada semua staf dan sudah tentu kepada boss kami, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sentiasa mendorong kami untuk mencipta kejayaan dan saya sangat gembira dengan pencapaian ini.

“Saya tidak pernah jangka dapat kejayaan seperti ini pada tahun pertama kerana saya ke sini dengan niat mahu membantu kelab ini menjadi lebih baik dari tahun lalu dan 100 peratus yakin kami berjaya melaksanakan tugas itu.

“Akhirnya kami jaringkan 100 gol dan bolos hanya tujuh dan ianya pencapaian yang hebat dan sukar untuk dilakukan mana-mana pasukan dalam dunia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ditanya pada detik bilakah dia merasakan pasukannya mampu menepati sasaran 100 gol, Solari berkata dia mula yakin apabila melihat barisan serangannya beraksi begitu baik pada babak pertama.

Solari juga tidak menyangka dirinya akan diletakkan sebaris dengan barisan jurulatih yang pernah menjuarai Liga Super bersama JDT tetapi menganggap kejayaan Harimau Selatan berpunca daripada kerja keras para pemain.

“Sejujurnya saya mula dapat rasakan kami mampu mencipta 100 jaringan pada separuh masa pertama kerana serangan kami sangat berkesan dan kami cepat mendapatkan semula bola serta ianya hari yang hebat buat Arif Aiman dan ini adalah menakjubkan.

“Pada mulanya saya ketawa kerana tidak menjangkakan itu kerana saya baru setahun di sini. Pemain yang memainkan peranan penting dalam kejayaan ini tetapi saya mahu berterima kasih kerana saya diletakkan sebaris dengan jurulatih yang pernah berjaya,” jelasnya.

Di bawah kendalian Solari, JDT menamatkan musim Liga Super 2023 dengan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan, menjaringkan 100 gol dan bolos hanya 7 gol selain mencipta gemilang memenangi kesemua piala domestik yang dipertandingkan.