PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari jelas kecewa dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi punca Harimau Selatan kehilangan dua tonggak utama menjelang aksi terakhir Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC menentang BG Pathum pada Selasa.
Keadaan padang venue final Piala Malaysia itu sangat tidak memuaskan hingga menjejaskan kualiti aksi akhir itu selain menjadi punca kecederaan Corbin Ong dan Shane Lowry yang sedikit menjejaskan persiapan JDT.
Bercakap ketika sidang media pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Solari berharap para pemainnya tidak perlu lagi bermain di padang sebegitu selepas ini dan perlu mengenepikan mereka untuk proses pemulihan.
“Malangnya, keadaan padang untuk aksi final sangat teruk dan kita ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan semasa perlawanan. Amat memalukan buat pemain kerana mereka menjaga diri mereka dan bekerja keras.
“Mereka akan kembali, kita tidak akan gunakan mereka kerana perlu melalui proses pemulihan. Kita ada banyak pemain yang boleh menampung ketiadaan mereka dan berharap kita tidak perlu lagi bermain di atas padang sebegitu,” katanya.
Selain JDT, lawan mereka di final, Terengganu FC juga mengesahkan pemain pertahanan muda meningkat naik, Ubaidullah Shamsul Fazili mengalami kecederaan ACL tahap 1 dan terpaksa diketepikan selama sebulan.
Solari juga mengesahkan JDT bakal beraksi tanpa Shio Hong Wan yang digantung satu perlawanan dan dia terpaksa melakukan rombakan bagi memastikan Harimau Selatan berjaya meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Hong Wan pula terpaksa dilupakan selepas dia digantung satu perlawanan akibat mengumpul dua kad kuning dan sudah tentu akan ada rombakan kecil malah saya sudah kenal pasti siapa yang bakal turun mengisi kekosongan Shane, Corbin dan Hong Wan,” jelasnya.
Pada aksi di Stadium Pathum Thani pada November, JDT berjaya menewaskan The Rabbits 4-2 hasil dua jaringan Arif Aiman serta masing-masing satu jaringan daripada Bergson dan Juan Muniz.