PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengakui kegagalan barisan pemainnya bermain seperti yang dikehendaki menjadi punca Harimau Selatan dibelasah Kawasaki Frontale 5-0 dalam aksi kelima Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC di Kawasaki.
Kegagalan itu juga menyaksikan JDT tersingkir dari kejohanan dan gagal mengulangi sejarah layak ke peringkat 16 terbaik dan kini hanya akan bermain untuk melengkapkan jadual apabila bertemu BG Pathum pada 12 Disember nanti.
“Ianya malam yang sukar buat kami kerana kami tidak bermain seperti yang dikehendaki dan ini juga bermaksud kami sudah tersingkir dari kejohanan ini walaupun masih ada satu lagi perlawanan berbaki.
“Kami mempunyai keyakinan terhadap perlawanan ini tetapi kami tidak bermain seperti yang sepatutnya. Kami tidak berada dalam perlawanan dan saya rasakan persembahan kami tidak seperti yang kami tunggu-tunggu dan sangat sedih kami tewas dan saya tidak mahu komen lebih lanjut,” katanya ringkas ketika sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Todoroki Athletics, itu, JDT ketinggalan 1-0 pada babak pertama sebelum Kawasaki menambah empat lagi jaringan pada babak kedua untuk membunuh sisa perjuangan JDT di ACL musim ini.
JDT dilihat dapat menyaingi Kawasaki pada babak pertama namun gagal mengekang hantaran-hantaran lintang skuad kendalian Toru Oniki itu yang mudah menjaringkan gol demi gol sekaligus meraih kemenangan besar dan layak ke peringkat kalah mati ACL.
Sementara itu, pertahanan JDT, Jordi Amat juga mengakui mereka tidak bermain seperti yang dirancang dan menganggap kekalahan ini sebagai pelajaran yang berguna dan akan bangkit semula selepas ini.
“Kami tidak bermain permainan kami dan membenarkan mereka selesa bermain dalam kawasan kami. Banyak yang perlu dipelajari dari perlawanan ini dan kami akan bangkit semula sebagai satu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.